
KOTA BHARU 14 Jan. - Tuduhan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat kepada umat Islam mencerminkan dirinya yang sebenar.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tuduhan yang dibuat ke atas Jakim itu sebenarnya berbalik kepada diri peguam itu sendiri kerana mengganggu gugat perpaduan rakyat negara ini.
Malah, beliau turut menyifatkan tindak-tanduk Eric sebagai biadab serta mempunyai agenda pencerobohan terhadap Islam dengan menyemai unsur-unsur provokasi dan penghinaan terhadap agama suci ini.
Katanya, khutbah Jumaat yang disediakan Jakim dan pihak berkuasa lain selama ini bertujuan mendidik masyarakat agar bersifat sederhana serta hidup dalam keadaan penuh harmoni.
