28 October 2008

KELANTAN TIDAK BAYAR GANTI RUGI KEPADA THAMES WATER - malaysiakini

KOTA BAHARU, 28 Okt (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini diberitahu kerajaan negeri tidak pernah membayar ganti rugi kepada Thames Water Sdn Bhd (Thames) semasa pengambilalihannya pada 1999 tetapi sebaliknya membeli pegangan saham milik syarikat dari Britain itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata sebaliknya kerajaan negeri hanya membayar pegangan saham syarikat asing itu sebanyak 70 peratus yang bernilai RM50 juta."Ketika itu kerugian terkumpul Thames ketika menguruskan air di Kelantan berjumlah RM54 juta.
"Selepas pengambilalihan itu oleh Air Kelantan Sdn Bhd, keuntungan terkumpul sehingga 2007 adalah RM1.5 juta," katanya ketika menjawab soalan Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor).
Penswastaan pengurusan bekalan air Kelantan bermula pada 25 Feb 1995 apabila ketika itu Jabatan Bekalan Air di bawah Jabatan Kerja Raya menyerahkannya kepada Kelantan Water Sdn Bhd, yang ekuitinya dikuasai oleh Thames sebanyak 70 peratus dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) 30 peratus.
Namun sejak itu berbagai-bagai kontroversi timbul termasuk rungutan rakyat yang tidak puas hati dengan khidmat bekalan air sambil ada ura-ura menaikkan harga air.
Husam berkata pengambilalihan itu akhirnya memberi keuntungan kepada rakyat Kelantan yang sehingga kini masih dikenakan tarif kedua terendah selepas Pulau Pinang.
Katanya ketika itu Thames dipilih untuk menguruskan air di Kelantan kerana kepakarannya serta tawaran yang diberikan adalah munasabah."Tetapi Thames telah mengenakan beberapa kaedah yang pada kita akan merugikan penduduk Kelantan dan sebab itu kita berpendapat ia perlu diambil semula," katanya.
Sementara itu, Husam berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk merealisasikan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).Kerajaan negeri berpendapat ECER mampu membangunkan Kelantan dalam pelbagai sektor, katanya kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Mengkebang).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fattah Mahmood berkata Kelantan berhasrat menyerahkan kepada pihak swasta untuk membangunkan litar lumba motosikal yang dicadangkan dibina di Tanah Merah.
Kerajaan negeri sudah menyiapkan kerja-kerja teknikal bagi pembinaan litar itu, katanya kepada soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong).-- BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive