25 November 2008

Ketua Jakim bidas MAZA isu alternatif yoga - malaysiakini

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz hari ini berkata, cadangan mengadakan alternatif untuk penganut agama Islam yang mengamalkan yoga tidak boleh menjadi penghalang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan untuk mengharamkan amalan sukan itu.
"Fatwa akan dikeluarkan jika kajian yang dijalankan mendapati sesuatu perkara itu boleh menggugat akidah. Alternatif itu soal lain," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan.
Ditanya sama ada Majlis Fatwa akan mempertimbangkan cadangan itu, Wan Mohamad berkata: "Tanyalah Mufti Perlis apa (alternatif) yang dicadangkan. Kalau beliau kata ada, eloklah bentang apa alternatif itu.
"Fatwa dibuat dengan kajian mendalam, bukan beri kenyataan macam tu saja...," katanya.
Beliau berkata, mufti bagi setiap negeri perlu bertanggungjawab memelihara akidah umat Islam dan memberi panduan bagi membezakan yang betul dan yang salah jika sesuatu perkara itu jelas merosakkan akidah.
Ketika ditanya cadangan Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang mendesak kerajaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan bagi bertindak ke atas pihak yang mempertikaikan institusi fatwa, Wan Mohamad berkata, hal itu terpulang pihak berkuasa negeri selepas memutuskan sama ada mewartakan pengharaman yoga atau sebaliknya.
"Kalau sesuatu negeri sudah mengeluarkan fatwa, memang dalam undang-undang sedia ada sudah termaktub (boleh dikenakan tindakan) mengikut semangat undang-undang negeri.
"Ini jelas kerana menentang fatwa lebih-lebih lagi yang telah diwartakan, mereka ini bukan hanya menentang fatwa tetapi juga menentang keputusan yang telah diperkenan oleh Sultan atau Raja negeri berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, Wan Mohamad berkata, mengenakan tindakan memang merupakan satu cara untuk mengelakkan orang ramai daripada mempertikai fatwa, namun apa yang lebih penting katanya, pemahaman orang ramai kepada fatwa itu sendiri.
"Lazimnya, pihak berkuasa negeri tidak akan mengambil tindakan terburu-buru dan kalau kita tengok rekod tindakan yang diambil setakat ini hanya kepada kumpulan yang menyebar ajaran sesat.
"Jika setakat tidak memahami fatwa, banyak lagi langkah yang boleh dibuat pihak berkuasa agama negeri," katanya.
Ditanya kemungkinan terdapat negeri yang tidak mengharamkan yoga, Wan Mohamad berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenai hal itu kerana pihak berkuasa agama bagi semua negeri masih belum membincangkannya.
"Kita tengok dulu mereka bincang. Semasa Majlis Muzakarah Kebangsaan pada Oktober lalu di Kota Bharu, semua mufti negeri menjadi ahli," katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan Wan Mohamad berkata Jakim meminta jawatankuasa fatwa di setiap negeri mengadakan mesyuarat membincangkan keputusan pengharaman yoga kepada umat Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum dipesembahkan kepada sultan untuk perkenan dan diwartakan.
Katanya, pelaksanaan fatwa tersebut perlu mengikut proses undang-undang sebelum diwartakan di negeri masing-masing.
"Kita dapati bukan terdapat perbezaan pandangan tetapi bagaimana fatwa itu dilaksanakan, dan oleh itu jawatankuasa fatwa negeri perlu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum dipersembah kepada sultan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan Ketuaketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri di Ipoh, hari ini.
Sabtu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan keputusan fatwa mengharamkan senaman yoga kepada umat Islam kerana satu daripada prosesnya turut membabitkan bacaan mantera.
Ketika ditanya mengenai bantahan kaum lain mengenai fatwa pengharaman yoga kepada umat Islam itu, Wan Mohamad berkata fatwa berkenaan adalah tertakluk kepada orang yang beragama Islam sahaja. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive