14 November 2008

Mufti Perlis letak jawatan akhir bulan ini - malaysiakini

KANGAR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau tetap dengan keputusan untuk meletakkan jawatan itu akhir bulan ini sambil menolak dakwaan bahawa Universiti Sains Malaysia (USM) tidak membenarkannya melanjutkan perkhidmatannya di negeri itu sehingga tahun depan.
Sebaliknya beliau berkata, melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Kerajaan Perlis bertarikh 16 September lalu, universiti itu bersetuju meminjamkannya kepada kerajaan negeri sehingga 30 Jun tahun depan.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman memberitahu sidang dewan undangan negeri, USM tidak membenarkan lanjutan peminjaman Mohd Asri sebagai Mufti Perlis.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengembalikan Mohd Asri kepada USM akhir bulan ini.
Beliau berkata, mulai Disember ini beliau akan bertolak ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya sebelum menerima pelbagai tawaran menarik.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan tawaran itu.
Mohd Asri berkata, beliau diminta oleh Raja Muda Perlis untuk mengemukakan dua calon yang bakal menggantikan tempatnya namun enggan menyatakan nama calon itu.
Katanya, beliau tidak pernah kesal dilantik menjadi Mufti Perlis bahkan seronok dengan tugas itu malah banyak pandangannya diterima oleh pelbagai pihak.
Beliau berkata, walaupun tidak memegang jawatan Mufti Perlis selepas ini namun beliau akan tetap menyuarakan pandangan yang berkaitan dengan keagamaan. BERNAMA

1 comment:

Musallam said...

Salam,

Walaupun beliau tidak lagi menjadi Mufti, kita mengharapkan beliau akan terus memberikan pendapatnya tentang pelbagai isu dari masa ke masa, termasuk menulis dalam akhbar Mingguan Malaysia, sebagaimana yang dilakukan beliau selama ini.

Pendapat beliau selalunya bernas dan berani, dan tentunya berguna untuk kebaikan kita bersama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive