02 December 2008

Harga Minyak Akan Turun Sebelum Hari Raya Haji - malaysiakini

JOHOR BAHARU, 1 Dis (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pengurangan harga minyak akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji dan kali ini ia dijangka hanya melibatkan petrol sahaja.
Penurunan harga petrol itu, katanya tidak akan melebihi 15 sen.
"Kita sekarang berdepan dengan keadaan luar biasa di mana harga diesel di pasaran dunia adalah lebih tinggi daripada petrol dan sebab itu kerajaan masih memberi subsidi RM1.43 untuk harga diesel," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penutupan Seminar Pembangunan Perniagaan Bagi Peniaga dan Usahawan Kecil di sini hari ini.
Dengan penurunan itu harga minyak petrol RON97 dijangka turun daripada RM2 kepada RM1.85 seliter manakala RON92 daripada RM1.90 kepada RM1.75 seliter.
Pada 17 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.Bagaimanapun, Shahrir berkata keputusan mengenai mekanisme penetapan harga minyak tidak sempat dibincangkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang diadakan di Putrajaya hari ini kerana perbincangan lebih tertumpu kepada aspek keselamatan negara.
"Kita mungkin akan membincangkannya pada mesyuarat Exco selepas Hari Raya Haji nanti," katanya.Kerajaan sekarang sedang menimbang sama ada memilih mekanisme penetapan harga minyak berasaskan harga lantai atau pengapungan terurus.
Mengenai rungutan pengguna berkaitan kedegilan peniaga menurunkan harga barang-barang walaupun harga minyak turun, beliau berkata pada masa sekarang peniaga khasnya yang menjual barang yang dikilangkan tidak dapat berbuat demikian.
"Mereka tidak dapat menurunkan harga barang yang dikilangkan pada masa sekarang kerana harga barangan terbabit adalah berasaskan harga tempahan sebelum pengumuman penurunan harga minyak," katanya.-- BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive