28 December 2008

Keluar parti: PKR serah pada Manika - malaysiakini

Khalid: Manikavasagam sudah cukup matang buat keputusan

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

[DIKEMAS KINI, 10.45 MALAM] PETALING JAYA: Pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sama ada mahu meninggalkan parti itu ataupun terus kekal wakil rakyat Pakatan Rakyat.
"Beliau sudah cukup matang untuk membuat keputusan terbaik kerana beliau sendiri mewakili kira-kira 100,000 pengundi (kawasan Parlimen Kapar)," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor di sini malam ini.
Ketika mengulas lanjut kenyataan Manikavasagam bahawa beliau akan membuat satu pendirian keras - dipercayai keluar PKR menjelang Rabu ini, Khalid berkata:
"Itu keputusan beliau tetapi tidak bererti Parti Keadilan menggalakkan beliau membuat keputusan itu."
"Tetapi apa pun keputusannya, ia perlu dibincangkan dalam Majlis Kepimpinan Tertinggi parti," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Mengenai masalah dalaman PKR, yang didakwa sebagai punca Manikasavagam membuat keputusan itu, Khalid menjelaskan, beliau tidak nampak kewajaran dakwaan tersebut.
"Manikasavagam mempunyai platform dalam mesyuarat negeri dan juga dalam parti untuk menyuarakan (isu-isu yang timbul)... sebagai Ahli Parlimen beliau dijemput untuk mengadakan perbincangan," katanya.
Ketika ditanya sama ada akan menemui Manikasavagam, Menteri Besar itu berkata, "terpulang kepada beliau berjumpa dengan Majlis Kepimpinan parti."
"Dalam Majlis Kepimpinan parti adalah sebuah biro politik yang diwujudkan untuk menyelesaikan hal-hal seperti ini," katanya.
Apabila ditanya bila ia akan dibawa untuk dibincangkan, Khalid memberitahu, "bila masa yang dirasakan sesuai untuk membincangkan perkara itu."
Khalid yang turut mengulas mengenai kecaman dan kritikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim terhadap ahli-ahli Parlimen PKR berkata:
"Tak ada... kalau pemimpin DAP pula nanti kata PKR mengkritik DAP, kemudian kamu masukkan pula PAS, kemudian kamu masukkan pula Umno, kemudian semualah.
"Sepanjang pengetahuan saya, perkara ini adalah normal, tiada yang tidak normal tentangnya. Dalam politik ia memerlukan perbincangan untuk membincangkan masalah... ia adalah satu proses."
Semalam, Manikasavagam dalam temu bual eksklusif dengan mStar Online memberitahu, beliau nekad untuk keluar daripada PKR dan dijadual akan mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.
Beliau mendakwa berasa kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.
Menurut Manikavasagam, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan.
Katanya, selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat khususnya DAP.
Dua bulan lalu, Manikavasagam pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Sebelum itu, beliau juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan mendakwa Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut pada Oktober lalu. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive