Oleh: Zulkifli Sulong
JAN 3 — Mengejutkan... Memang pengumuman calon Pas untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu memang mengejutkan. Ini kerana, Muhamad Abdul Wahid Endut bukan termasuk dalam senarai calon Pas sebelum ini.
Saya sendiri secara peribadi, apabila menerima maklumat ini kira-kira jam 4.30 petang 1 Januari lalu, amat terkejut. Saya percaya perasaan yang sama juga dirasai oleh kebanyakan pemimpin Pas sendiri.
Menurut maklumat awalnya, saya difahamkan ada tiga nama yang disebut-sebut. Dr Syed Azman, Datuk Wan Mutalib Embong dan Datuk Mustafa Ali. Apabila diberitahu bahawa calon pilihan adalah Abdul Wahid, saya sendiri tidak terkata apa-apa.
Untuk itu saya mula menyiasat apakah sebenarnya yang berlaku.
Ia bermula dengan mesyuarat Lajnah Politik Pas Terengganu. Mesyuarat ini memilih sekurang-kurangnya dua nama penting iaitu Datuk Wan Mutalib dan Datuk Mustafa.
Apabila nama-nama calon ini dibentangkan ke mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 21 Disember lalu, dua nama penting lagi ditambah iaitu Haji Mohamad Sabu (bekas calon) dan Dr Syed Azman.
Setelah bermesyuarat, sekurang-kurangnya lima nama inilah yang disenaraipendekkan dan diberikan mandat kepada Presiden Pas untuk membuat keputusan terakhir.
Menurut ceritanya, pilihan Presiden Pas adalah Datuk Mustafa Ali manakala Datuk Wan Mutalib lebih cenderung agar Dr Syed Azman diberikan peluang sebagai calon. Ini kerana, berdasarkan kajiselidik yang dibuat kepada pengundi, nama Adun Batu Burok (Dr Syed Azman) inilah yang paling popular.
Nama Mohamad Sabu pula dianggap tidak sesuai kerana dimomokkan sebagai orang luar dan dikatakan punca Pas kalah dalam pilihan raya umum lalu di kerusi itu. Sentimen ini sudah sepakat di kalangan aktivis Pas di Kuala Terengganu.
Lalu yang tinggal hanya Mustafa dan Syed Azman. Namun beberapa hari sebelum 1 Januari, Mustafa dikatakan telah membuat keputusan menolak dari dicalonkan. Ini kerana beliau bimbang dilanda fitnah kerana hubungan rapat beliau dengan Presiden Pas.
Lalu yang tinggal adalah Syed Azman seorang sahaja. Ekoran itu beberapa media telah membuat berita kononnya beliau sudah terpilih sebagai calon di Kuala Terengganu.
Namun, pertemuan antara Presiden Pas dengan empat lagi pemimpin kanan Pas di Terengganu pada petang 1 Januari telah mengungkaikan segala-galanya. Dari situlah kemudiannya tersebar berita bahawa pilihan Pas adalah Abdul Wahid Endut, Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu.
Ketika itu, saya masih berandaian bahawa lima pemimpin utama Pas Terengganu inilah yang membuat keputusan bersama iaitu memilih Abdul Wahid dan menolak Syed Azman. Namun selepas itu, baru saya tahu bahawa, keputusan yang mereka buat adalah atas keputusan dan istikharah yang dibuat oleh Presiden Pas sendiri.
Saya diberitahu, sejak diberikan amanah oleh JK Pas Pusat pada 21 Disember, Abdul Hadi terus mengadakan sembahyang istikharah agar beliau diberikan petunjuk untuk mendapatkan pilihan yang terbaik untuk Pas sesuai dengan namanya adalah parti Islam.
Seorang rakan saya memberitahu perkara ini. Betul atau tidak saya tidak bercadang untuk mengesahkannya dengan Abdul Hadi sendiri. Tetapi secara peribadi, saya percaya cerita ini.
Suatu malam, Abdul Hadi dikatakan bermimpi, beliau susah benar untuk mengambil air sembahyang. Setelah sekian lama baru dapat. Kemudian, apabila mahu sembahyang, beliau dikatakan sembahyang mengadap arah matahari naik. Sedangkan kiblat sembahyang adalah ke arah matahari jatuh.
Keesokan harinya, Abdul Hadi telah merujuk mimpi pelik ini kepada seorang rakannya dalam Majlis Syura Ulamak. Lalu mereka berdua mencapai keputusan bahawa mimpi itu ada kaitannya dengan pemilihan calon yang beliau isytikharahkan itu.
Lalu mereka berpendapat ini adalah petanda bahawa, calon yang ada di dalam senarai mereka itu tidak berapa sesuai dan perlukan calon lain. Lalu dari sinilah datangnya nama Abdul Wahid Endut yang tidak pernah ada dalam senarai calon-calon Pas sebelum ini.
Terbukti selepas diumumkan pada kira-kira jam 11 malam 1 Januari lepas, Abdul Wahid mendapat sokongan ramai. Sebaik sahaja nama beliau diumumkan, takbir bergema di Stadium Negeri Batu Burok itu.
Walaupun saya sendiri amat bimbang dengan pemilihan ini, namun selepas mendapat penerimaan baik masyarakat terutama di kalangan penyokong sendiri, terbukti pilihan ini tepat.
Siapa Abdul Wahid ini?
Siapa Abdul Wahid ini?
Abdul Wahid memang berbeza sekali dengan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid. Jika benar apa yang dituliskan oleh rakan saya Zubaidah Abu Bakar dalam NST 21 Disember lalu, Abdul Wahid bakal mendapat sokongan ramai dalam pilihan raya kecil ini.
Abdul Wahid seorang yang rendah diri ataupun tidak ada riak, bongkak atau hidung tinggi. Saya mempunyai pengalaman peribadi dengan beliau dalam hal ini.
Pada 6 Disember lalu, kakak ipar saya mengadakan kenduri kahwin anaknya di kampung Sungai Rengas, dalam kawasan Dun Wakaf Mempelam. Oleh kerana kesibukan, nama Abdul Wahid tertinggal dari senarai jemputan. Mereka hanya sedar perkara ini pada 5 Disember iaitu sehari sebelum kenduri.
Dengan tergopoh gapah, mereka berdua suami isteri ke rumah Abdul Wahid menghantar kad jemputan. Padahal orang lain sudah menerima kad jemputan ini sebulan lalu. Abdul Wahid, selaku wakil rakyat hanya menerima sehari sebelum kenduri.
Dengan tergopoh gapah, mereka berdua suami isteri ke rumah Abdul Wahid menghantar kad jemputan. Padahal orang lain sudah menerima kad jemputan ini sebulan lalu. Abdul Wahid, selaku wakil rakyat hanya menerima sehari sebelum kenduri.
Namun, atas sifatnya yang hebat, pada hari kenduri itu Abdul Wahid sampai ke majlis itu. Bayangkan kalau orang lain yang mendapat layanan sebegitu. Inilah kelebihan Abdul Wahid.
Mungkin ini yang dikatakan X-factor yang ada pada beliau. Mungkin kerana itulah juga beliau tidak pernah kalah di Dun Wakaf Mempelam yang ditandinginya sejak tahun 1990 lagi.
Ramai pihak yang cuba mengaitkan pertembungan dalaman Pas sebagai faktor pemilihan Abdul Wahid dan penolakan terhadap Syed Azman dan ramai juga yang berkata, Abdul Wahid adalah calon kompromi Pas.
Ramai pihak yang cuba mengaitkan pertembungan dalaman Pas sebagai faktor pemilihan Abdul Wahid dan penolakan terhadap Syed Azman dan ramai juga yang berkata, Abdul Wahid adalah calon kompromi Pas.
Bagi saya, Abdul Wahid bukan calon kompromi atau penolakan Dr Syed Azman kerana faktor kumpulan dalam Pas tetapi Abdul Wahid adalah calon pilihan semua pihak dalam Pas. Cuma yang menyusahkan petugas Pas adalah pemilihan ini lambat dibuat iaitu selepas 10 hari calon BN berkempen di Kuala Terengganu. -- TMI
No comments:
Post a Comment