KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberi respon atau menjawab sebarang pertuduhan seperti yang dicabar oleh bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd Nor mengenai dua perkara penting yang didedahkannya sewaktu berkempen di Kuala Terengganu kelmarin.
Beliau sebaliknya mendakwa Ezam diperalatkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu untuk meraih undi.
"Saya tidak pernah respons kepada Ezam, sejak bila saya respons kepada dia?
"Di Permatang Pauh mereka gunakan dia, setiap pilihan raya kecil dia akan digunakan," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cabaran Ezam supaya menjawab pendedahan terbaru .
Semalam, Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu pernah memintanya supaya menguruskan langkah berdamai dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sampai seminggu selepas dipecat.
Malah Ezam turut mendedahkan tarikh tepat beliau melihat kandungan enam kotak rahsia yang dikaitkan dengan kononnya bukti gejala rasuah pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa berada dalam kerajaan.
Ditanya sama beliau ingin menafikan atau mengakui mengenai pendedahan Ezam itu, Anwar berkata, isu merupakan isu lama yang sudah tidak relevan.
"Dia cakap mengenai isu bila, 1998? Sekarang sudah 2009, dia tunggu 11 tahun untuk fikir," katanya.
Bagaimanapun Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata isu yang dibangkitkan Ezam tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
"Apa isunya? Saya tak nampak sebarang isu yang cuba beliau bangkitkan," katanya. - mStar
No comments:
Post a Comment