10 February 2009

PIlihan Raya Kecil di 2 Bukit Bulan Depan - malaysiakini


[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat meninggal dunia manakala seorang lagi meletakkan jawatan secara mengejut.
Kedua-dua peristiwa itu terjadi dalam tempoh 12 jam semalam, sekali gus perkembangan tersebut - sesuatu di luar jangkaan - memberi ruang untuk diadakan pilihan raya kecil.
Kedua-dua peristiwa itu juga melibatkan negeri jiran - Perak dan Kedah.
Malah, sebab bagi kedua-dua pilihan raya kecil kali ini dilihat sebagai "sesuatu yang bersejarah" dalam sistem pilihan raya negara ini.
Sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, dua pilihan raya kecil sudah ada diadakan iaitu kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kedua-duanya dimenangi oleh wakil Pakatan Rakyat.
Sambil mengakui kematian Ahli Parlimen dan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meletakkan jawatan semalam sebagai sesuatu yang jarang berlaku secara serentak, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat secepat yang mungkin untuk mengambil tindakan susulan termasuk pilihan raya kecil.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak sudah pasti berlangsung dan ia akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujudnya kekosongan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi mStar Online malam tadi berkata, pihaknya akan meneliti segala dokumen sebelum menentukan tarikh pilihan raya.
Apabila ditanya sama ada akan mengadakan dua pilihan raya kecil serentak, beliau berkata: "Kami juga kena melihat Perlembagaan Negeri Kedah sebaik sahaja menerima notis kekosongan."
Beliau tidak menyatakan dengan lanjut.
Bagaimanapun difahamkan tindakan meneliti segala dokumen kemungkinan berkaitan dengan perkembangan membabitkan kerusi Changkat Jering dan Behrang di Perak minggu lalu.
Changkat Jering merupakan salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Bukit Gantang.
SPR tidak mengadakan pilihan raya kecil selepas mendapati ada keraguan dalam dokumen peletakan jawatan membabitkan kedua-dua ADUN kerusi terbabit dan notis makluman yang dikemukakan oleh Speaker.
Ketika ditanya sama ada SPR akan mengadakan pilihan raya kecil serantak, Wan Ahmad yang dihubungi menjelaskan, "banyak aspek dan perkara perlu dipertimbangkan."
Apabila ditanya bila kemungkinan kedua-dua pilihan raya kecil akan diadakan, Wan Ahmad menjelaskan, terlalu awal untuk diperkatakan.
"Lagi pun ia perlu dibincang bersama melibatkan tujuh anggota panel SPR," katanya lewat malam tadi, yang turut terkejut apabila dimaklumkan sama ada suruhanjaya akan mengadakan dua pilihan raya kecil. -- mStar

1 comment:

Anonymous said...

nak ada 2 prk serentak banyak aspek apa spr? hanya surat penafian letak jawatan 2 adun perak boleh terima inikan nak adakan 2 prk pun susah...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive