Semua kita tahu SPR acapkali bertindak seperti komponen ke-15 BN. Tindak tanduknya selalu kelihatan memihak kepada BN, tidak berkecuali seperti sepatutnya. Kedudukan calon dalam kertas undi Bukit Selambau meyakinkan lagi sesetengah pihak kebenaran andaian itu.
Lumrah mengetahui bagi sesetengah peminat tahyul, terutama kaum Cina mereka tidak suka dengan angka 4 yang membawa makna kematian. Sebaliknya mereka sangat suka kepada angka 8 yang membawa makna tuah dan kemakmuran. Sebab itulah mengapa ramai terutama dari kalangan kaum Cina yang sanggup membida nombor pendaftaran kenderaan dengan nilai yang tinggi untuk angka yang berkaitan dengan 8, termassuk 8, 88, 888 atau 8888.
Angka 4 pula paling tidak diminati. Pengalaman saya yang pernah menggunakan kenderaan bernombor 4444 menunjukkan bukan sahaja nombor pendaftaran 4 mudah untuk diperolehi tetapi apabila kenderaan berkenaan hendak dijual, nilai jualannya turut jatuh kerana nombor pendaftarannya yang dipercayai kurang menarik minat pembeli kenderaan.
Dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau yang disertai 15 calon itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyediakan kertas undi di mana PKR diberi nombor 4 dan BN diberi nombor 8. Sama ada PKR mendapat nombor yang membawa erti mati dan BN mendapat nombor yang membawa erti tuah berlaku secara kebetulan atau telah dirancang hanya SPR yang boleh menjawabnya.
Sebagai seorang yang tidak mempercayai tahyul, saya sendiri cuba meyakinkan diri pemberian nombor dalam kertas undi kepada PKR dan BN itu berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang.Walau bagaimanapun, bagi peminat tahyul terutama dari kaum Cina mereka mungkin kurang selesa untuk memangkah nombor 4 yang membawa erti mati dalam pilihanraya Bukit Selambau kelak, tetapi lebih tertarik dengan nombor 8 yang membawa erti tuah.
Kepada orang Islam, kita mesti menolak tahyul, MESTI! Namun kita tidak dapat menghalang pengundi mempercayainya.Tapi benarkah ada kalangan pegawai SPR yang percaya kepada tahyul sehingga perkara ini berlaku? Dan adakah ada kalangan pengundi juga yang percaya kepada tahyul dan mempengaruhi pola pengundian di Bukit Selambau kelak? Jawapannya ialah pada 7 April ini.Selamat mengundi, jangan percayakan tahyul!!
No comments:
Post a Comment