04 June 2009

Apakah UMNO BN masih berkualiti?

Oleh: Harun Jaafar

Isu prestasi Najib, kegawatan ekonomi, skandal PKFZ, keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, dan pergelutan kepimpinan dalam parti-parti komponen BN amat rapat kaitannya dengan kualiti, kredibiliti, dan integriti UMNO-BN. Ketiga-tiga elemen yang menjadi penentu tahap pencapaian sesebuah kerajaan itu benar-benar meletakkan UMNO-BN dalam keadaan yang kritikal. Lantaran itu, kedudukan mereka tercabar teruk.

Dengan pencapaian sekadar 45%, Najib dapat digolongkan sebagai pemimpin yang lemah, yakni tak rok cetong. Hal ini tidak syak lagi menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat. Mereka memerlukan seorang PM yang berprestasi tinggi sebagai tempat bergantung harap dan pada masa yang sama mampu memacu negara ke arah kegemilangan.

Keresahan rakyat terhadap wibawa pemimpin mereka terjawab apabila KDNK negara semakin merudum. Kekecewaan mendalam itu tercetus kerana pada peringkat awal mereka diyakinkan bahawa kemerosotan ekonomi dunia tidak akan menjejaskan negara yang kukuh dalam semua bidang.

Rakyat mulai sangsi apabila RM 7 bilion diperuntukkan demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Mereka semakin sangsi apabila RM 60 bilion lagi digunakan untuk tujuan yang sama. Kini tahulah mereka tentang kedudukan ekonomi negara yang sebenar setelah Bank Negara mengeluarkan kenyataan mengenainya. Semua sektor menguncup, kecuali sektor perkhidmatan.

Skandal PKFZ yang melibatkan wang berjumlah RM 12.5 bilion ada kaitan dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA. Najib mengambil sikap lepas tangan apabila mengarahkan Ong Tee Kiat menyelesaikannya. Sungguhpun skandal ini besar dan serius, SPRM nampaknya terlalu lembab bertindak. Rakyat yang tertekan dengan pelbagai masalah sekarang ini terlalu kecewa dengan sikap berpilih yang diamalkan oleh SPRM.

Belum pun sempat kes PKFZ ditangani, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh. Bangunan itu baru 7 bulan diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu. Bangunan yang dibina menerusi rundingan terus itu meningkat kosnya dari RM 250 juta ke RM 392 juta. Selepas dirasmikan para pekerja masih berada di atas bumbung stadium itu bagi menyiapkan kerja-kerja akhir.

Peningkatan kos dan penyiapan yang tergesa-gesa menguatkan telahan bahawa ada unsur rasuah dan pengesampingan kualiti dalam proses penyiapannya. Semua ini memerlukan tindakan segera SPRM.

Musibah demi musibah menimpa ke pundak Najib sejak akhir-akhir ini. Kalau dianalogikan bukan sahaja sudah jatuh ditimpa tangga malahan juga tersembam ke dalam taik lembu cair. UMNO-BN perlu muhasabah diri.

Ketika berbangga kerana dapat merampas kuasa di Perak, tanpa diduga UMNO kecoh dengan krisis kepimpinan di banyak negeri. Parti-parti komponen seperti MCA, MIC, dan Gerakan juga bergolak. Namun, pergolakan dalam PPP mengundang pemerhati menyamakannya dengan kemelut politik Perak. Parti itu mempunyai dua orang Presiden sama macam Perak yang mempunyai dua kerajaan, dua MB, dan dua speaker.

Barangkali inilah balasan Tuhan kepada UMNO-BN setelah sewenang-wenang membentuk kerajaan haram di Perak. Unsur keharaman dalam PPP tidak disangka-sangka menjadi tali yang menjerat UMNO.BN. Namun, itu baru permulaan.

Pada masa depan kita akan dapat melihat pelbagai lagi peristiwa yang memakan diri UMNO-BN berlaku. Sama-samalah kita tunggu kehadirannya selagi UMNO-BN enggan berubah.

Untuk kelihatan relevan, UMNO-BN wajib mementingkan kualiti, kredibiliti, dan integriiti dalam semua hal. Faktor-faktor ini dapat direalisasikan hanya dengan komitmen yang holistik dan keikhlasan yang jitu. Kedua-dua aspek penting itu berkait rapat dengan ajaran Islam. Mampukah UMNO berhijrah dari nasionalisme-sekular kepada Islam? Hanya ahli-ahli UMNO yang mampu menjawabnya. - utara online

1 comment:

Unknown said...

bukan salah UMNO tapi salah ahli-ahlinya yang kebanyakannya tidak ada kredibiliti dan integriti. UMNO dijadikan landasan dan batu loncatan untuk kepentingan diri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive