17 November 2009

Isu sakit misteri Saiful : Cucumatkilau disiasat polis

Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Nov 17 — Susulan tindakan Saiful Bukhari Azlan menyaman Pahang Daily Online, salah seorang editor eksekutif blog tersebut yang lebih dikenali sebagai Cucumatkilau telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi memberi keterangan.

Saiful yang mendakwa diliwat oleh bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan saman RM2 juta terhadap Pahang Daily Online kerana penerbitan enam artikel berkaitan penyakit misteri beliau yang dianggapnya sebagai tuduhan bersifat fitnah.

Saiful merupakan bekas pembantu peribadi Anwar dan mendakwa diliwat pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider difahamkan sehingga kini writ saman Saiful belum diserahkan kepada sesiapapun memandangkan Pahang Daily Online beroperasi tanpa identitinya diketahui umum.

Cucumatkilau atau nama sebenarnya Mohd Shukri Mohd Ramli tiba di IPD Kuantan sekitar 4.30 petang semalam bersama isterinya dan telah disoal siasat hampir dua jam.

Menurut Cucumatkilau, isteri beliau turut dipanggil kerana nombor akaun banknya telah digunakan untuk urusan pengiklanan dalam blog Pahang Daily Online.

Cucumatkilau dalam kenyataannya turut mengakui sikap pihak polis kali ini lebih berhemah dalam menjalankan siasatan mereka.

Dipercayai dua pegawai berpangkat Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman telah turun ke IPD Kuantan bagi menjalankan soal siasat.

Ini adalah kali kedua Cucumatkilau dipanggil ke IPD Kuantan untuk siasatan kes yang sama.

Jelas, polis lebih berminat untuk mengetahui siapa di belakang Pahang Daily Online dan pihak pemberi maklumat sehingga terhasilnya enam artikel berkaitan Saiful.

Cucumatkilau, yang juga bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan dalam pilihan raya umum ke-12 lalu dan nama yang sering dikaitkan dengan Pahang Daily Online, dalam kenyataannya turut memberitahu yang beliau telah memberi kerjasama bai kepada pihak polis dan bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan.

Jika didakwa, kes beliau dilihat mampu menjadi kes hiliran penting dalam perjalanan pendakwaan tuduhan liwat ke atas Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mana-mana kes yang diputuskan terlebih dahulu akan menjadi 'pre-judgement' kepada kes yang satu lagi.

Turut hadir di IPD Kuantan petang semalam memberi sokongan kepada Cucumatkilau adalah Ram Ponnusany, Timbalan Pengerusi III Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang; Razali Alias, Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang; Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat PKR Negeri Pahang dan Kamarul Hatta Mohamad Ali, Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR Negeri Pahang. - The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive