oleh: Kunta Kinte
NOV 6 — Minggu ini Kunta Kinte nak cakap pasal sikap orang kita yang Kunta Kinte rasa merugikan iaitu sikap ganti bukan perbaiki.
Dulu masa kita miskin, kita utamakan amalan perbaiki daripada ganti. Mula-mula kita perbaiki kereta lembu dan kereta kerbau. Masa Kunta Kinte membesar di kampung pada 1950-an dan 1960-an, kereta lembu dan kereta kerbau ada lagi.
Lepas itu kita belajar perbaiki basikal. Di tempat duduk atau di batang palang basikal kita ada beg kecil isi spanar, pemutar skru dan minyak pelincir. Rosak sikit-sikit kita baiki sendiri.
Lepas itu giliran motosikal Honda Cub dan kereta terpakai pula. Kunta Kinte beli kereta pertama pada 1969 iaitu Volkswagen Beetle tahun 1964. Bateri enam volt. Alahai, kalau hujan waktu malam, bukan main seksa. Hidupkan bilah pengelap cermin, lampu malap. Bila pasang lampu isyarat, bilah pengelap cermin berhenti. Akhirnya pinjam Vespa kawan.
Rosak sikit-sikit kita baiki sendiri. Sebab itu sekarang bila kita hantar kereta ke bengkel, mekanik tak boleh “kantoi” kita. Orang sekarang kereta atau motosikal rosak sikit pun hantar ke bengkel. Apa satu pun mengenai kereta tak tahu. Nak tukar tayar pancit pun kena panggil mekanik.
Kerajaan pun sudah macam tahu. Asyik tukar saja. Pasal bila tukar baru, adalah orang dapat komisen. Ambil contoh kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, nak ganti jet pejuang MiG-29 Fulcrum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Cara Menteri cakap macamlah kita cap duit. Kunta Kinte tahulah kalau beli baru kuranglah kos penyelenggaraan. Tapi berapa pula belanja nak beli jet pejuang yang setaraf bagi ganti 16 MiG-29 itu.
Sekarang ekonomi kita merudum. Rakyat jelata susah. Hasil kerajaan pun kurang. Lagipun kita baru belanja RM3.4 bilion beli kapal selam. Jadi tak seronoklah dengar Menteri cakap macamlah kita kaya raya.
Maaf cakaplah, sebenarnya kalau kita kaji betul-betul, kita ni sudah masuk taraf boros. Kunta Kinte tak kata pertahanan tak penting. Penting. Tapi mulai sekarang, kita kena ukur dulu kemampuan kita.
Kalau tak salah Kunta Kinte, kita ada banyak kelengkapan tentera yang orang lain pakai lagi tapi kita dah simpan atau lupuskan pasal dulu kita kaya.
Kalau tak silap Kunta Kinte, kita ada 10 jet pejuang F-5E Tiger yang kita simpan dalam stor. Kunta Kinte percaya Zahid tak tahu yang banyak lagi tentera udara di dunia, termasuk di negara maju macam Amerika, masih guna F-5E sebagai pejuang barisan depan atau sebagai “lead-in trainers”.
Sebenarnya bukan tak boleh, tapi tak mahu. Cuba kita fikir. Kalau beli baru, semua duit mengalir ke luar negara. Tapi kalau kita baiki, sebahagian saja keluar dan orang kita boleh belajar perbaiki, ubah suai mesin buat barang ganti.
Orang kita ni sebenarnya pandai. Macam-macam boleh buat. Dalam TUDM tu ramai yang pakar dalam macam-macam bidang mekanikal dan elektronik. Boleh buat, bukan tak boleh. Tengok macam mana jurutera dan mekanik TUDM selenggara dan baik pulih helikopter jenis Aloutte III yang kalau tak silap Kunta Kinte dah dekat 40 tahun atau Nuri (Sikorsky S-61A-4) yang dah lebih 30 tahun.
Busuk-busuk pun kita jual lah kepada negara sahabat atau kita tukar beli (trade-in) dengan pembekal dari mana kita hendak beli pesawat baru. Nak bagi satu dua kepada universiti untuk latihan dan pameran tak apalah.
Satu lagi Kunta Kinte cadang kita jangan tumpu kepada Amerika saja. Selain Russia tengok juga pembekal lain macam konsortium European Aerospace (Eurofighter Typhoon) dan Sweden (Saab Gripen).
Kita kena ingat juga, kapal terbang pejuang dan senjata buatan Amerika ini diuji guna sasaran sebenar yang bukan saja pejuang tetapi orang awam macam mereka buat di Iraq dan sekarang Afghanistan.
Kalau kita beli senjata Amerika, kita macam sokong dan restu kekejaman Amerika di Iraq dan Afghanistan. Ini kita kena fikir. Lagipun, semua rahsia persenjataan Amerika ada di tangan Israel. Ini kita kena ingat dan waspada. — Berita Harian
No comments:
Post a Comment