27 January 2010

Aduka perlu mohon maaf depan Hakim dan keluarga Di Raja Johor : Rais


KUALA LUMPUR, 27 Jan — Penulis blog Anduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, perlu membuat permohonan maaf secara formal di hadapan Hakim Mahkamah yang akan membicarakan kesnya kelak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata blogger itu juga boleh memohon maaf secara formal kepada keluarga Diraja Johor sendiri.

“Jika seseorang itu ingin memohon maaf mereka boleh buat secara formal di mahkamah yang merupakan satu faktor mitigasi di mahkamah. Memohon maaf kepada keluarga diraja pula soal di luar undang-undang, (dan) terserahlah kepada budi bicara pihak diraja berkenaan sama ada menerima atau tidak. Tetapi lunas undang-undang tetap harus berjalan,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Penulis blog berusia 29 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, pada Isnin lepas dan direman selama empat hari untuk pihak polis menjalankan siasatan.

Dia kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog itu dan menarik balik artikel yang dipersoalkan itu

Rais sebelum ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Di bawah Seksyen 233, seseorang yang menghantar mesej ataupun seseorang yang menggunakan bahasa, menggertak atau menggunakan kelucahan atau menyakitkan hati ataupun sabit dengan perlakuan yang boleh dikaitkan dengan hasutan, kesemuanya ini boleh dikemukakan oleh pihak yang mendakwa supaya kes tersebut dibawa terus ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 352 kes telah disiasat oleh SKMM sepanjang tahun lepas dan dari angka tersebut 13 pertuduhan telah dibawa ke mahkamah, sama ada kerana kesalahan mengikut Seksyen 232 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes-kes yang dikompaun ialah 38 dan jumlah denda atau kompaun yang diterima ialah RM460,000, manakala kes yang masih dalam siasatan ialah 174 dan kes yang memerlukan siasatan lanjut atas arahan timbalan pendakwa raya ialah 36,” katanya.

Sejumlah 88 kes pula telah ditutup oleh pendakwa raya atas sebab-sebab tertentu, sama ada tidak cukup bukti ataupun atas budi bicara jabatan berkenaan, katanya.

“Ini termasuklah kes-kes di mana mereka yang telah terbabit mungkin telah memohon maaf ataupun dalam kes-kes tertentu pula didapati bahawa barang-barang yang disiasat itu tidak dapat menimbulkan pembuktian yang jelas.

“Jadi kesemua ini menunjukkan bahawa bidang bagi seseorang itu memohon maaf secara formal memang ada dan digalakkan tetapi itu hanya boleh dibuat semasa mitigasi hadapan dengan hakim atau pihak yang menghakimkan kes-kes tersebut dan juga sekiranya diterima oleh pihak-pihak tertentu seperti kes blogger yang melibatkan pihak diraja kita di Johor,” katanya.

Rais berkata SKMM telah diarah untuk bertindak tegas dalam menangani perkara itu selain menjalankan siasatan secara adil dan objektif. — Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive