KUALA LUMPUR, 2 Mei - Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang genap setahun awal bulan lalu, masih belum memperlihatkan tindakan konkrit untuk memberi kebebasan menyeluruh kepada media massa negara ini sebagaimana diharapkan, kata The Centre for Independent Journalism (CIJ).
CIJ berkata, kepimpinan Najib juga tidak melakukan sesuatu yang berkesan untuk memansuhkan undang-undang yang dilihat menghalang kebebasan media sekian lama.
“Seperti biasa, ia bermula dengan penuh harapan. Ketika bercakap kepada wartawan dan editor tiga hari selepas menjadi perdana menteri pada April (2009), Najib memberitahu media agar menjadikan kerajaan dan pegawai-pegawai awam bertanggungjawab dan membuat laporan tanpa takut dan pilih kasih.
“Bagaimanapun, sebagaimana dapat dilihat selalu, tiada tindakan susulan. Najib tidak melakukan apa-apa untuk memansuhkan undang-undang yang ketat, yang menghalang media sejak beberapa dekad,” katanya.
CIJ mengatakan demikian dalam ringkasan laporan Kebebasan Bersuara yang dikeluarkan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut esok.
Laporan penuh CIJ ini akan diumumkan Sabtu ini.
Sebaliknya menurut CIJ, terdapat rancangan untuk menambah tahap kawalan ke atas media di negara ini.
Satu percubaan untuk menapis kandungan internet akhirnya digugurkan selepas protes daripada orang ramai, kata CIJ sambil menambah, terdapat juga usaha untuk mewujudkan Majlis Akhbar yang turut ditolak wartawan.
“Editor-editor juga menolak garis panduan tambahan yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri yang bertujuan mengawal selia kandungan dengan lebih mendalam,” kata CIJ.
Bagaimanapun jelas CIJ, satu-satunya undang-undang berkaitan dengan kebebasan bersuara yang dipinda di bawah pentadbiran Najib ialah Akta Universiti dan Kolej Univetsiti 1971, yang membolehkan penuntut universiti memberikan pandangan dengan bebas.
CIJ menambah, pengamal media masih ditahan selain berhadapan dengan cabaran-cabaran baru dalam melahirkan hak asasi di bawah perlembagaan, etnik dan agama.
“Sepanjang setahun lalu, adakah keadaan berubah di bawah kepimpinan perdana menteri baru yang mengambil alih ketika rakyat secara umumnya kecewa dengan (kepimpinan) bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin yang rakyat telah meletakkan harapan tinggi selepas (melalui) kerajaan menindas selama 22 tahun di bawah Dr Mahathir Mohamad?” kata CIJ lagi.
Pentadbiran Najib dijangka membentangkan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada sidang Parlimen Jun ini.
Ia salah satu perkara dijanjikan sejurus selepas mengambil alih jawatan perdana menteri April 2009 walaupun sebahagian besar rakyat mengharapkan undang-undang itu akan dimansuhkan.
Sehubungan itu, CIJ berharap pentadbiran Najib yang bergerak berlandaskan konsep 1Malaysia akan menilai risiko yang beliau terima daripada manfaat politik berbanding kepentingan jangka panjang negara - TMI
No comments:
Post a Comment