02 May 2010

Santai Ahad: Belanja RM100 ribu nak jadi perempuan


Tak takut buang kemaluan

Oleh ADAM SALLEH, NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my

2010/05/02 KUALA LUMPUR: Alat sulitnya bernilai RM15,000, 16 batang giginya RM10,000, punggungnya RM12,000, manakala payu daranya pula RM5,000. Jika termasuk hidung, dagu dan kos menambahkan lagi kewanitaan dan kejelitaan, keseluruhannya lebih RM100,000.

Mahu dikenali sebagai Lisa Aziz, 30, dia mendakwa puas dan gembira dengan apa dimilikinya hari ini selepas menggantikan alat sulitnya menerusi pembedahan menukar jantina di Bangkok, Thailand, 10 tahun lalu.

Walaupun sedar perbuatannya menyalahi hukum agama, dia rela melakukannya kerana tidak sanggup menjadi lelaki.

“Saya dilahirkan sebagai lelaki tetapi sejak zaman kanak-kanak, naluri saya lebih kepada wanita. Saya tidak mampu membendung naluri itu dan sentiasa berusaha menjadi wanita.

“Saya bercampur dengan golongan yang sealiran dan mula belajar banyak perkara untuk mengubah diri menjadi wanita. Pada usia 13 tahun, saya memulakan langkah pertama dengan mengambil pil hormon,” katanya.

Sejak itu dia menyimpan impian merubah sepenuhnya diri menjadi wanita dengan melakukan pembedahan sedikit demi sedikit; bermula daripada mencantikkan gigi, mewujudkan payu dara, memancungkan hidung, meruncingkan dagu hinggalah kepada memantapkan punggung.

Lisa berkata, semua pembedahan dilakukan di Bangkok untuk mendapatkan hasil terbaik selain harga lebih murah berbanding di negara ini.

“Gigi, payudara, hidung dan dagu, saya lakukan pembedahan sekali saja. Untuk punggung, saya melakukannya (pembedahan) dua kali. Sekali bedah punggung, saya berhabis RM6,000.

“Kalau awak nak tahu, untuk payudara, saya tidak memasukkan silikon, sebaliknya sejenis cecair dengan kos RM5,000. Namun, selagi tidak menukar jantina, saya tetap tidak puas hati, malah tertekan, terutama ketika melihat alat sulit lelaki masih terlekat di anggota badan,” katanya.

Menurut Lisa, pada 2000, selepas cukup modal dan menemui hospital terbaik untuk melakukan pembedahan menukar jantina, dia berangkat ke Bangkok untuk berubah menjadi wanita.

“Tiada perasaan takut kerana memang itu (menukar jantina) yang saya mahu. Ketika itu saya yakin hospital yang saya pilih adalah yang terbaik kerana sebelumnya saya berhubung dengan doktor pakar yang melakukan pembedahan berkenaan selama empat bulan,” katanya sambil mendakwa alat sulitnya berfungsi seperti wanita lain, cuma berbeza dia tidak boleh mengandung.

Dakwanya, selepas menukar jantina dan berubah sepenuhnya menjadi wanita, ramai lelaki menagih cinta daripadanya, termasuk suami orang.

Lisa mendakwa alat sulitnya berfungsi seperti wanita lain, cuma yang berbeza dia tidak boleh mengandung.

“Saya merasai rangsangan pada alat sulit saya. Saya beroleh nikmat ketika melakukan seks dengan lelaki. Tapi, prinsip saya tidak akan mengganggu suami orang, masalahnya ramai golongan itu datang kepada saya, tetapi saya tidak layan.

“Lelaki bujang jangan cakaplah. Ada yang datang menangis, malah melutut pun ada semata-mata mahu menagih cinta daripada saya,” katanya.

Baginya, dia hanya melakukan apa yang dirasakan terbaik untuk dirinya.

Dia tidak pedulikan pandangan negatif masyarakat dan gembira dengan apa dilakukannya serta belum terfikir untuk berubah.

“Saya tidak kacau orang. Saya hanya melakukan sesuatu yang menggembirakan diri saya. Apa yang saya lakukan adalah hak peribadi saya,” katanya.

Ditanya bagaimana jika dijemput Ilahi kelak? Lisa mendakwa keluarganya tahu apa yang dilakukannya.

“Saya berpesan kepada keluarga, apabila ajal tiba, kebumikan saya dalam keadaan asal (lelaki). Saya sedar ada kes ‘wanita’ seperti saya dikebumikan sebagai wanita selepas tiada siapa tampil membuat pengesahan.

“Kes seperti itu hanya berlaku kepada mereka yang hidup bersendirian. Saya ada keluarga dan mereka tahu siapa saya,” katanya.

Walaupun mengakui keluarga menerimanya, dia tetap menerima tentangan pada awalnya.

Keluarga memahami saya kerana saya bukan ‘suka-suka’ mahu menjadi wanita. Memang keluarga, terutama ibu, merelakan saya menjadi wanita tetapi tidaklah sampai tahap menukar jantina.

“Namun, saya tetap melakukannya (menukar jantina). Apabila saya beritahu keluarga, mereka terkejut, namun lama kelamaan saya diterima seadanya,” katanya.

>Megah dilahirkan tanpa ‘asam boi’ : Seorang lagi lelaki yang menukar jantina sama dengan Lisa Aziz menyifatkan dirinya bertuah kerana dilahirkan tanpa ‘asam boi’.

Apabila ditanya apa dimaksudkan ‘asam boi’, sambil ketawa kecil dia yang mahu dikenali sebagai Juliana berkata, istilah itu merujuk kepada halkum.

Menurutnya, bagi golongan mak nyah, ketiadaan halkum adalah sesuatu yang istimewa kerana membuatkan mereka lebih sempurna dan proses mengubah suai identiti daripada lelaki ke wanita menjadi lebih mudah dan murah.

“Kalau ada asam boi, nak buang secara kikis perlukan belanja besar. Ramai juga rakan segolongan saya buang asam boi di Bangkok, tetapi saya dikira beruntung kerana sejak kecil tidak nampak asam boi.

“Lalu tidak hairan jika kali pertama bertemu lelaki, mereka sangka saya wanita asli. Tanpa asam boi, rakan segolongan meletak saya pada prestij tersendiri. Mereka menggelarkan saya NB, singkatan kepada natural beauty,” kata Juliana yang mendakwa sudah berkahwin.

Bukan itu saja, kata Juliana, dia tidak perlu memakan hormon untuk membesarkan payudara, kecuali menjalani pembedahan di Bangkok bagi menukar jantina.

“Kos pembedahan saya dulu lebih RM10,000. Saya tidak masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) dan selepas enam hari pembedahan, baru saya dibenarkan pulang.

“Prosedur sama, saya serahkan bahagian ‘anu’ yang dipotong kepada rakan untuk diuruskan,” katanya.

Juliana yang lima tahun lebih tua dari Lisa berkata, kehidupannya lebih terisi sejak berkahwin lebih 10 tahun dengan seorang lelaki yang dikata ahli perniagaan.

Ketika ditanya siapa lelaki itu, Juliana tidak mahu memberitahu, namun sempat bergurau senda dengan wartawan apabila menunjukkan gambar lelaki itu pada telefon bimbitnya tetapi mengelak bila mahu melihat secara dekat.

Menurut Juliana, suaminya romantis, penyayang dan memahami nalurinya. Kebahagiaan dinikmati itu membuatkan rumah tangga mereka bertahan 10 tahun. Namun dia enggan menjawab bila ditanya bagaimana cara pernikahan mereka? “Yang saya tahu, suami saya duda dan ada dua anak. Kedua-dua anaknya memanggil saya mama,” katanya.

Sekalipun lebih 15 tahun menjalani kehidupan sebagai wanita dan isteri, Juliana sedar asal usul kejadiannya.

“Saya sudah jelaskan pada keluarga dan rakan terdekat, andai tiba ajal saya, kenalah jenazah disempurnakan secara lelaki. Saya ada cita-cita, satu hari untuk jejak ke Tanah Suci bersama suami, paling tidak sekali seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, jurumekap artis, Sutex, berkata bukan sekali dua dia mendengar masalah bila tiba urusan jenazah mak nyah, sama ada solatnya niat atas nama lelaki atau wanita.

“Masalah ini sepatutnya diselesaikan oleh pihak agama kita sejak dulu. Yang saya tahu, di Iran ulama dan mufti mereka turut campur tangan dalam isu begini, malah ada yang diberi lampu hijau untuk berkahwin,” katanya.

Sutex, antara pencetus idea filem Anu Dalam Botol, berkata melalui filem arahan Khir Rahman itu, ia mengajak masyarakat supaya tidak memandang serong dan pada waktu sama menyedari ramai mak nyah memotong ‘anunya’.

> Pintu taubat terbuka “Bertaubat dan berserah kepada Allah SWT. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang,” kata Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid ketika mengulas pendedahan dibuat Lisa dan Juliana.

Menurut Mohd Tamyes, walaupun gembira dengan apa dilakukan, hakikatnya dua ‘wanita’ itu tetap lelaki.

“Walau macam mana hebat perubahan mereka, mereka tetap lelaki. Mereka tidak ada rahim, malah rongga dalaman mereka tetap lelaki. Pintu taubat masih terbuka. Jika tidak sempat berbuat demikian... Nauzubillah,” katanya.

Mohd Tamyes turut membidas Lisa dan Juliana kerana melakukan perbuatan yang jelas diketahui haram di sisi Islam.

“Mereka tahu perbuatan dilakukan haram, malah ada fatwa mengenai pembedahan penukaran jantina haram bagi umat Islam. Inilah masalah umat Islam kita hari ini. Daripada segi hukum Islam memang jelas salah, tetapi mereka buat juga.

“Nak hukum ikut undang-undang, ia sukar dilaksanakan. (Akibatnya) golongan terbabit semakin bertambah, samalah seperti golongan gay,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sejak 1982 memutuskan, pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram daripada segi syarak.

Keputusan majlis itu yang bersidang kali keempat pada 13 dan 14 April 1982 juga membuat ketetapan bahawa seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun dia berjaya ditukarkan jantina melalui pembedahan, begitu juga bagi wanita.

Namun bagi yang dilahirkan dengan dua alat kelamin lelaki dan perempuan, pembedahan diharuskan ke atas mereka bagi mengekalkan satu alat jantina yang disahkan lebih berfungsi bagi mereka.

Sementara itu, seorang pakar sakit puan yang enggan dikenali berkata, nikmat ketika mengadakan hubungan seks bagi lelaki yang menjalani pembedahan menukar jantina tidak menyamai apa dirasakan wanita sejati kerana faraj dan pangkal rahim wanita sangat sensitif pada sentuhan.

“Alat sulit baru bagi mereka yang menjalani pembedahan penukaran jantina dibuat daripada kulit, justeru sensitivitinya kurang. Mereka rasa nikmat kerana ada ‘saluran’ khusus untuk melakukan hubungan seks dengan lelaki.

“Walaupun membelanjakan banyak wang, perbezaan fisiologi hanya pada ‘rupa’ alat kelamin itu — daripada penis (zakar) kepada faraj buatan kerana organ lain berkaitan alat kelamin masih dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, risiko pembedahan penukaran jantina bergantung kepada kepakaran doktor yang melakukannya.

“Biasanya jika doktor pakar, peralatan mencukupi, ubat digunakan sesuai, tiada masalah selepas pembedahan. Masalah yang timbul mungkin daripada psikologi individu yang dibedah.

“Sebab itu sebelum pembedahan dibuat, golongan terbabit perlu berjumpa pakar psikologi dan melalui proses tertentu sebelum bersetuju dibedah,” katanya.

Secara peribadi, beliau tidak menggalakkan lelaki melakukan pembedahan penukaran jantina.

“Risiko seperti penyakit boleh diubati, tetapi jika berdepan masalah daripada segi psikologi, ia sukar dihadapi,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive