03 August 2010

PAS tidak kompromi dakwaan rasuah,


Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 3 Ogos—PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu dalam Pakatan Rakyat (PR) yang didapati bersalah dalam soal berkaitan dengan salah guna kuasa dan rasuah.
Pada masa yang sama, komponen PR itu menyerahkan kepada DAP untuk menyelesaikan masalah semasa berkaitan dengan dakwaan amalan rasuah dan pengeluaran surat sokongan politik yang terdedah minggu lalu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan, parti Islam itu akan kekal dengan prinsip PR untuk tidak berkompromi dengan individu yang didapati bersalah.

“Sesiapa yang didapati bersalah termasuk dalam kes rasuah akan dibawa ke muka keadilan.

“Ini adalah prinsip asas PR jadi kita perlu patuhi, selain itu kita juga telah berjanji kepada rakyat untuk memerangi gejala rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin negara ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sejak DAP berhadapan dengan kontroversi pengeluaran surat sokongan pemberian kontrak oleh pemimpin politik komponen PR iaitu PAS dan PKR didakwa ‘diam diri’ dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua pemimpin DAP iaitu anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu yang kini berhadapan dengan isu rasuah.

Sabtu lepas, DAP memecat Tee berkuat kuasa serta merta dipercayai berhubung isu salah guna kuasa membabitkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak MPK.

DAP kini ‘memburu’ Liu berhubung isu rasuah yang bersangkutan dengan dakwaan dikenakan ke atas ahli majlis MPK itu.

Pengerusi jawatankuasa disiplin DAP Tan Kok Wai berkata, tindakan itu diambil memandangkan Tee turut mengaitkan Liu ketika sesi pendengaran pihaknya.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata PAS berharap supaya DAP dapat menyelesaikan masalah dalam parti itu secepat mungkin.

“Ini adalah urusan dalaman DAP jadi kita tidak perlu campur tangan di peringkat awal.

“Tapi jika ia berlarutan kita akan bincangkan perkara ini dalam Majlis Tertinggi PR bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak akan pilih bulu dalam perkara ini,” katanya = TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive