22 September 2010

Polis temui tengkorak dan rangka manusia di tepi lombong

PORT DICKSON, 21 Sept — Polis menemui tengkorak dan rangka manusia dipercayai seorang dewasa, di tepi sebuah lombong di Jalan Sua Betong berhampiran Kampung Barisan, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt. Baljeet Singh berkata rangka itu ditemui dalam keadaan terikat dengan wayar serta ditutup dengan selimut tebal.

“Keseluruhan mayat sudah reput dan hanya tulang yang dapat dikesan di situ,” katanya, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penemuan tersebut, beliau berkata seorang pemancing berusia 53 tahun telah menemui tengkorak itu pada Ahad lepas, namun dia yang tidak pasti dengan penemuannya telah bertindak menanam tengkorak tersebut.

Bagaimanapun selepas dinasihatkan rakan, dia membuat laporan polis semalam, dan sepasukan polis yang dihantar ke tempat tersebut telah menemui rangka berkenaan, kata beliau.

Baljeet berkata pihaknya yakin mangsa dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di situ.

Tengkorak dan rangka itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’aafar Seremban untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222 atau balai polis berdekatan. — Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive