04 October 2010

Kertas siasatan kes bunuh Sosilawati hampir siap

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka siap tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata polis masih lagi berbincang dengan unit khas yang mengendalikan kes itu bagi melengkapkan dan mengemaskini siasatan seperti yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.

“Ada lagi perkara yang perlu disiasat. Dijangka (kertas siasatan) siap dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata kertas siasatan itu berkemungkinan dihantar bersama keputusan ujian DNA.

“Kami belum memperoleh sepenuhnya keputusan ujian dan masih menunggu perincian dari Jabatan Kimia. Kita tidak mahu bagi tekanan kepada Jabatan Kimia, pakar patologi dan mereka yang terlibat, jadi kita akan tunggu perincian sepenuhnya dari mereka dahulu,” katanya.

Mohd Bakri turut meminta orang ramai terutama media supaya bersabar menunggu siasatan polis dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Polis telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lepas tetapi dikembalikan semula keesokan harinya untuk dilengkapkan.

Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor, untuk urusan pembelian tanah.

Polis kemudian mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Hasil siasatan, Unit Forensik Polis menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut dipercayai milik mangsa-mangsa. Bahan bukti kes pembunuhan itu diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Sehingga ini, polis menahan lapan suspek, termasuk dua peguam adik beradik, bagi membantu siasatan.

Tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 7 Oktober dan lima yang lain sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan.

Siasatan turut merangkumi satu lagi kes pemubuhan melibatkan hartawan warga India A. Muthuraja yang dilaporkan hilang selepas tiba di negara ini pada 18 Januari lepas. – Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive