04 October 2010

Syed Mokhtar nak beli PLUS Pulapol dan RRI

Syed Mokhtar buru UEM, tanah RRI dan Pulapol

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dipercayai telah menulis kepada Putrajaya untuk mendapatkan tanah seluas 1,200 hektar di Sungai Buloh dan pusat latihan polis di ibu negara - sebahagian daripada usaha beliau mahu mengambil alih konsesi-konsesi lebuh raya PLUS milik Kumpulan UEM Berhad.

The Malaysian Insider difahamkan, MMC Berhad syarikat milik Syed Mokhtar, telah mengemukakan bidaan itu kepada Kementerian Kewangan Ogos lalu dan perkara tersebut telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Kumpulan UEM Berhad dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad, badan pengurusan pelaburan kerajaan.

“Kedudukan kerajaan, jika Khazanah hendak menjual, tiada halangan,” kata satu sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

“Bagaimanapun kerajaan tidak akan memaksa Khazanah untuk menjual pegangannya dalam UEM kepada MMC,” kata sumber itu.

Bidaan mendapatkabn UEM hanya salah satu daripada beberapa usaha digerakkan oleh jutawan kelahiran Kedah ini.

Difahamkan Syed Mokhtar juga telah menulis kepada kerajaan untuk membeli tanah seluas 1,200 daripada 3,000 hektar miliki Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh untuk dibangunkan oleh pentadbiran Najib di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Selain itu, juga difahamkan tokoh perniagaan ini juga mahu mendapatkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini, yang menempatkan Muzium Polis dan pusat logistiknya untuk dimajukan.

Malah, kawasan itu juga menempatkan padang golf polis, yang terletak berhampiran dengan penempatan mewah Gurney termasuk kediaman jutawan-jutawan dan diplomat asing.

“Putrajaya belum membuat keputusan berhubung tanah RRI ataupun Pulapol,” kata sumber kerajaan itu.

Sebelum tawaran ke atas tanah polis ini, kerajaan juga ada mengumumkan baru-baru ini bahawa ia akan membangunkan kawasan lapangan terbang lama di Sungai Besi di sini, yang merupakan lokasi strategikbagi pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pembangunan kawasan Sungai Besi ini oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) juga sebahagian daripada projek ETP.

Sejak Najib menerajui kerajaan sejak April 2009, beliau memberi tumpuan untuk membangunan semula aset-aset di Kuala Lumpur dan telah meminta Khazanah agar menjual pegangan dalam hampir 70 syarikat yang berada di bawah penyeliaan pengurus aset kerajaan.

Bagaimanapun Najib yang juga pengerusi Khazanah, menyerahkan kepada pengarah urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar dan pasukannya untuk menguruskan soal penjualan pegangan strategik dalam syarikat-syarikat berkenaan.

Selain bidaan daripada MMC untuk mendapat UEM, Khazanah juga ada menerima tawaan RM50 bilion untuk mendapatkan PLUS Expressways Berhad.

Bagaimanapun belum ada sebarang keputusan berhubung bidaan-bidaan yang telah diterima itu, kata sumber-sumber.

Bidaan MMC untuk mendapatkan UEM dilihat sebagai salah satu cara mengambil alih PLUS, yang menguasai laluan Lebuh Raya Utara Selatan dan beberapa lebuh raya di pantai barat Semenanjung.

Beberapa blogger mengaitkan Syed Mokhtar bahawa MMC berminat untuk mendapatkan Kumpulan UEM dengan membentuk sebuah badan tujuan khas (SPV) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai rakan kongsinya.

Syor pembelian ini akan melibatkan rancangan SPV untuk mengumpulkan dana RM16 bilion yang termasuk modal kerja RM500 juta, bagi Kumpulan UEM yang termasuk Faber Group Bhd, UEM Land Holdings Bhd, Time Engineering Bhd dan syarikat-syarikat yang tidak disenaraikan - UEM Builders, yang terlibat dalam pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang kedua.

Jumlah nilai aset Kumpulan UEM sehingga 31 Disember lalu dianggarkan RM31.1 bilion.

Blogger-blogegr terbabit mendakwa kedua-dua KWSP dan PNB tidak dirunding dalam merangka urus niaga yang disyorkan itu dan kemungkinan tidak bersetuju dengan cadangan 40 peratus milik MMC yang nilainya berjumlah RM1.92 bilion manakala KWSP dan PNB masing-masing pula 30 peratus, bernilai RM1.44 billion setiap satu.

MMC juga sebahagian daripada konsortium diketuai oleh Gamuda, yang mengesyorkan pembinaan projek RM36 bilion Mass Rapid Transit (MRT) di ibu negara.

Keputusan mengenai projek itu, sebahagian dariapda ETP, akan diumumkan bulan ini - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive