17 October 2010

Kita mahu gula kopi minyak masak yang turun harga bukan beg tangan seluar dalam dan pewangi .. Belanjawan Seluar Dalam Rosmah 2011

By From Vehicles to Life

Belanjawan Rosmah 2011

Semalam Belanjawan Negara telah dibentangkan oleh Najib Tun Razak. Kita sebagai rakyat menantikan apakah yang lebih baik untuk kita. Kita rakyat Malaysia yang semakin tertekan dengan harga barang yang semakin naik. Dengan kenaikan harga minyak maka semuanya pasti naik. Golongan yang paling terkesan adalah rakyat yang berpendapatan rendah.

Majoriti rakyat Malaysia yang tidak berniaga mengharapkan ada sesuatu yang dapat meringankan beban mereka. Mereka masih mengharapkan agar kerajaan yang memerintah dapat menurunkan harga barangan runcit dengan memperuntukkan sebahagian berbillion ringgit itu kepada sudut itu. Kita tidak mahu mendengar projek berbillion ringgit bangunan pencakar langit. Kita hanya mahukan ekonomi yang bersifat kemanusiaan.

Saya bukan pakar ekonomi. Tapi apa yang penting bagi saya sebagai rakyat Malaysia mahukan kualiti kehidupan yang lebih bermakna. Dari sudut kesihatan, pendidikan, dan poket kami yang semakin kering ini. Pergilah tanya pada mereka yang benar - benar bebas dari pengaruh politik. Semuanya kecewa dengan bentangan belanjawan kali ini. Saya bukan berbual kosong tapi inilah hakikatnya. Rata - ratanya mempersoalkan apa yang diperuntukkan kepada rakyat. Mereka mempersoalkan rasional kerajaan memperuntukkan ratusan juta yang entah kemana hasilnya.

Sebagai contoh apabila kerajaan menghapuskan cukai pembelian telefon bimbit sebanyak 10%, janganlah kita seronok dengan penghapusan cukai tersebut. Apakah kita akan membeli telefon setiap hari? Jangan ada yang kata bagus sebab orang kampung boleh pakai blackberry Torch dan IPhone. Semua itu tidak pernah menjadi keutamaan kepada mereka. Jangan samakan kampung di Kuala Lumpur dengan kampung di Kuala Nerang. Jangan samakan kampung tersusun dengan kampung yang berselerakan. Mereka ini tidak sama. Mereka perlukan keperluan asas yang lebih banyak contohnya harga beras yang lebih rendah, gula, tepung, ayam atau daging dan sayur - sayuran. Ini yang mereka perlukan. Ada kerajaan BN memberi peruntukan sedemikian rupa?

Tapi antara perkara yang paling menyakitkan hati kita sebagai rakyat apabila berjuta - juta duit kita rakyat yang sepatutnya diberikan kepada saluran yang betul mengenai pendidikan disalurkan kepada satu badan yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Sebanyak RM111 Juta telah diberikan kepada PERMATA. PERMATA merupakan kepunyaan Rosmah. Apa pentingnya Rosmah kepada kita? Apa pentingnya Rosmah kepada negara? Siapa Rosmah? Kenapa dia dapat keistimewaan yang melampau? Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja. Kenapa tidak disalurkan kepada Kementerian yang bertanggungjawap?

Sakit hati rakyat tidak pernah diambil kira. Kita mahu harga barang turun. Kita mahu harga makanan ruji turun. Tapi yang turun? Beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut,pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu. Apakah ini yang kita mahu? Apakah ini yang orang kampung mahukan? Apakah ini yang mampu menaikkan taraf ekonomi negara. Apakah keperluan ini hari - hari kita beli?

Belanjawan kali ini hanya untuk golongan tertentu. Soalan kepada Najib? Apa peruntukan kepada golongan petani dan nelayan? Apakah sumbangan kepada golongan pekerja swasta? Tiada satu pun peruntukan diberikan kepada mereka. Mungkin ada yang kata ekonomi apa yang kita mahukan. Idealistik atau realistik. Ya kita mahu yang realistik. Realistik agar rakyat dapat tersenyum lebar dengan penurunan harga barang. Realistik rakyat senyum apabila harga ubat atau yang berkaitan dengan kesihatan diturunkan.

Itulah yang realistiknya selain daripada menyuntik wang untuk memacu ekonomi negara. Sudah berapa lama kita merdeka. Sudah berapa banyak bangunan tinggi yang kita ada. Sudah berapa banyak gedung - gedung membeli - belah kita ada. Sudah berapa banyak sekolah bestari yang kita ada. Tapi jujur dengan diri kita, apakah pencapaian kita? Malu kita jika dibandingkan dengan Cuba. Cuba sebuah negara yang tidak punya bangunan pencakar langit. Namun dari sudut pendidikan cuba meninggalkan kita jauh. Kita yang hebat dalam bangunan hanya dapat 88.9% peningkatan dalam pendidikan jauh tertinggal di belakang Cuba yang mendapat 99.8%. Ini yang kita mahu. Ini yang rakyat idamkan. Itu belum bicara soal kesihatan dimana dari semua sudut Cuba jauh meninggalkan kita. Ya, sebuah negara yang mundur bangunan tapi rakyat senyum dan sihat.

Ramai ahli politik kata ini Belanjawan PRU. Saya katakan ini Belanjawan Rosmah atau Belanjawan Hari Kiamat BN. Kenapa? Belanjawan yang tidak menguntungkan rakyat. Belanjawan yang hanya bermanfaat buat golongan tertentu. Tak semua orang menjadi Ketua Kampung, tak semua menjadi Tok Batin, tak semua orang jadi Guru KAFA. Majoritinya orang kampung. Kasihan orang biasa macam kita. Tepuk dada tanya selera. Apakah ini yang kita mahukan?

1 comment:

Seindah.Bidadari said...

sy sokong...setiap kali belanjawan sy tengok mak dan ayah sy kecewa..sebab mereka hanya kg yg keje swasta dengan gaji yg rendah..xde pape lansung yg mereka dapat...mereka juga menyumbang untuk negara tp xpenah dapat apa2..dapat tengok je..=(

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive