13 October 2010

PRK Batu Sapi ditentukan Jumaat ini

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah akan diputuskan Jumaat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Kerusi itu kosong ekoran kematian wakil rakyatnya Sabtu lalu.

“Kami telah menerima notis kekosongan petang tadi, dan memutuskan untuk mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini,” kata Abdul Aziz ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mesyuarat diadakan tiga hari selepas notis diterima.

Suruhanjaya ada masa sehingga Selasa depan untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil yang ke-13 ini.

Ketika ditanya sebab SPR mengadakan mesyuarat dengan segera, Abdul Aziz memberitahu, “kami adakan mesyuarat khas seperti biasa. Tak cepat, macam biasa sahaja.”

“Lagipun pada Jumaat ini, ada kekosongan waktu dan ada ruang, jadi kami memutuskan untuk mengadakan mesyuarat khas menentukan tarikh pilihan raya kecil Batu Sapi,” katanya lagi.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung dengan kekosongan kerusi Batu Sapi.

Abdul Aziz akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Ketika ditanya mengenai aspek-aspek khas dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil di Batu Sapi, Abdul Aziz berkata tarikh akan ditetapkan dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti hari-hari khas dan hari kebesaran.

“Seperti biasa hari peperiksaan, hari kebesaran, keagamaan dan, Hari Raya Aidiladha, aktiviti parti akan dipertimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, SPR tidak boleh memuaskan semua pihak dalam menetapkan tarikh yang sesuai.

“Mesti ada yang berpuas hati, ada juga yang tidak berpuas hati... tetapi jika kami pilih tarikh yang sesuai untuk semua, tiada pihak yang akan puji kami. Bila silap sedikit, kami kena kritik,” kata beliau merujuk kepada komen mengenai tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas yang diadakan pada hari kerja dan sehari sebelum Deepavali.

Pada minggu lalu, SPR menetapkan pilihan raya kecil kerusi Galas akan diadakan pada 4 November.

Kelmarin, Abdul Aziz memberitahu The Malaysian Insider, secara peribadi beliau tidak fikir kedua-dua pilihan raya kecil akan diadakan serentak - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive