25 November 2010

Kemaruk politik UmNO


Kebelakangan ini kita melihat bangaimana UMNO melepaskan serangan demi serangan dalam usahanya untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, sebahagian besar dari isu-isu yang mereka timbulkan hanya menunjukkan betapa terdesaknya mereka untuk menyerang PR sehingga menjadi bahan gurau di kalangan mereka yang bermaklumat. Sebagai contoh, isu duit judi di Pulau Pinang.

Manakala, isu-isu yang ditonjolkan sekarang pula adalah seperti berikut:

1. Isu pemilihan PKR dan Zaid

Gambaran yang ingin diberi ialah PKR berada dalam keadaan huru-hara dan tunggang-terbalik. Oleh yang demikian, sekiranya benar dakwaan ini, maka tiada apa-apa yang perlu ditakutkan oleh pihak BN. Tetapi dengan liputan meluas dan tumpuan yang diberi, maka jelas bahawa PKR tetap dilihat sebagai satu ancaman yang perlu ditangani. Yang akan menjadi jawapan muktamad bagi PKR terhadap dakwaan BN itu ialah kesatuan yang akan terhasil selepas selesainya proses pemilihan ini. "After the dust settles" bak kata orang putih, sekiranya selesai dengan baik dan semua bersatu kembali, maka segala dakwaan BN akan terjawab dengan sendirinya.

Berhubung dengan Zaid (gambar kiri), saya secara peribadi berasa agak terkilan. Beliau merupakan harapan masyarakat Malaysia dan hakikat bahawa beliau mendapat pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden walaupun hanya setahun menjadi ahli PKR adalah bukti betapa beliau disanjung di kalangan ahli. Kesanggupan beliau mengorbankan jawatan Menteri demi prinsipnya diketahui dan diiktiraf semua. Malangnya beliau tidak sabar menangani cabaran.

Bagi saya, inilah bezanya di antara mereka yang datang untuk membawa perubahan dan mencorakkan sebuah gerakan dan mereka yang datang dengan tujuan mengepalai gerakan yang telah sedia dicorak. Kategori pertama menjangkakan akan adanya kekurangan dan perlunya melalui proses perubahan. Kekurangan dan kelemahan dilihat sebagai satu cabaran tetapi sanggup diharungi kerana pada dasarnya, wawasan tertentu telahpun diterima semua.

Manakala kategori kedua tidak mempunyai perasaan yang sama terhadap gerakan yang sedang dibangunkan. Dia sebagai "orang luar" yang menuntut wujudnya suasana tertentu dengan kaedah yang tertentu. Sekiranya ianya belum lagi wujud, maka dia kesal dan berasa kecewa.

Pada awalnya saya mengharapkan Zaid memiliki ciri-ciri kategori pertama dan bukan kategori kedua. Namun, kelihatan seolah-olah sebaliknya sejak kebelakangan ini.

2. Isu Banjir di Kedah

Isu banjir di Kedah pun ingin BN politikkan. Kononnya kerajaan Kedah tidak membantu dan lambat bertindak. Dakwaan ini tidak perlu saya respon. Hakikatnya, bukan sekadar kerajaan Kedah bertindak cepat dan berkesan, PAS Shah Alam pun, sepertimana PAS kawasan dan negeri yang lain, telah turun membantu. Selesai sahaja bergalas di Galas, sekumpulan petugas telah terus turun ke Kedah membawa bantuan.

Dalam pada itu misi bantuan disertai pula beberapa badan NGO, pihak kerajaan dan swasta seperti Muslim Care, MBSA, Bidara Flour, Angkatan Edaran dan banyak lagi. Mengikut laporan yang diterima, sejumlah lapan tan bantuan telah dihantar bernilai lebih kurang RM 20,000. Itu baru dari Shah Alam, apatah lagi dari kerajaan Negeri Kedah. Sudah pasti jauh lebih banyak.

3. Isu "penyelewengan" di Selangor - PKNS dan Yayasan Selangor

Akhir-akhir ini timbul pula isu "penyelewengan" di Selangor. Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh PKNS dan Yayasan Selangor untuk beberapa program yang tidak munasabah dan terlalu mewah dan boros ditonjolkan. Ya, mungkin benar. Jumlah perbelanjaan yang didedahkan dibawa oleh ADUN dari kedua-dua belah pihak mungkin dianggap tidak wajar dan tidak boleh diterima. Namun, perlu disiasat dan dibuat perbandingan dengan apa yang pernah dibelanjakan dahulu. Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada yang mendedahkan perkara ini.

Pada masa yang sama saya (Khalid Samad, gambar kiri) ucapkan tahniah juga kepada kerajaan Negeri Selangor atas tindakan segera mereka mengarahkan pegawai yang disyaki terlibat bercuti supaya siasatan dapat dilakukan dengan tepat, berkesan dan segera. Yang terlibat perlu dikenakan tindakan, sekiranya didapati bersalah dan tidak dilindungi. Mengarahkan mereka bercuti juga merupakan satu tindakan yang wajar sambil peranan mereka dalam kes berkenaan disiasat.

Jangan buat macam kerajaan BN. Walaupun dikemukakan bermacam-macam aduan dan laporan penyelewengan, ianya "business as usual" atau semuanya berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa masalah. Kalau siasat pun, pegawai berkenaan masih di situ, mengepalai siasatan tersebut! Hendak siasat Ketua Polis Negara, KPN masih bertugas sebagai KPN!

Peristiwa sebegini perlu dimanfaatkan oleh PR untuk menunjukkan perbezaan di antara PR dan BN dan betapa PR telus dan tidak membela mana-mana pihak. Yang terbukti bersalah akan tetap dihukum.

4. Kembalinya Politik Samseng UMNO

Baru-baru ini kita turut digemparkan dengan berita seorang ADUN, wakil rakyat Sekinchan, Ng Suee Lim dipukul samseng UMNO. YB berkenaan terpaksa dibawa ke Hospital untuk mendapat rawatan. Aneh dan ajaib, ada pula YB UMNO, Menteri pula itu, membela golongan samseng ini!

Inilah bukti sahih betapa kemaruknya UMNO dewasa ini. Sehingga hilang punca dalam usaha menangani cabaran kebangkitan PR. Samseng pun dibela dan dilindungi. Mungkin BN melihat budaya samseng sahajalah yang merupakan penyelamat mereka dewasa ini. Sepertimana dalam isu "kepala lembu" di Shah Alam. Saya difahamkan UMNO Selangor yang bayarkan denda/saman golongan kepala lembu tersebut.

Semasa korban minggu lepas, ada yang siap pesan, "Hati-hati, jaga kepala lembu, supaya tidak jatuh ke tangan puak-puak kemaruk ini!"

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Ahli Parlimen Shah Alam

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive