25 November 2010

Kongres PKR ke-7 bakal dicemari protes

Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Kongres Nasional 2010 Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ketujuh yang bermula esok sehingga ahad (28 November) bakal dicemari dengan protes daripada sekumpulan ahli parti itu sendiri bagi membantah kepincangan sepanjang proses pemilihan berlangsung.

Melaungkan slogan 'Kempen Selamatkan Keadilan', kumpulan yang dikenali sebagai Suara Anak Muda itu difahamkan akan memakai baju T berwarna hitam, selain riben 'headband' dan 'armband' yang sama warna sebagai tanda protes.

FMT juga difahamkan kira-kira 100 penyokong Suara Anak Muda akan mula mengedarkan risalah kepada perwakilan, pemerhati, media dan orang ramai sepanjang Kongres PKR yang dijadualkan berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula esok.

Selain risalah, riben, 'armband' dan 'headband' yang tertera perkataan 'Selamatkan Keadilan' turut diedarkan di perkarangan dewan bagi meraih sokongan.

"Risalah itu mengandungi fakta serta bukti kepincangan sepanjang proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat dan juga Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC).

"Dalam kempen risalah itu juga, kita mahu Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim diselamatkan daripada terus dikellilingi oleh individu berkepentingan yang menjadi penasihat tidak rasmi (campurtangan) Anwar sehingga menimbulkan banyak keputusan yang tidak sepatutnya daripada beliau dan Biro Politik," kata sumber dalaman kumpulan itu.

Kempen itu katanya bertujuan untuk menarik perhatian pemimpin tertinggi termasuk Presiden PKR dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) supaya mendengar keluhan mengenai proses pemilihan MPP yang dikatakan sebagai demokrasi namun didapati tidak bersifat telus.

"Kerunsingan Pemilihan 2010 ini sedikit pun tidak menimbulkan rasa benci terhadap perjuangan PKR, cuma perasaan benci yang meluap-luap itu hanyalah terhadap penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

"Lebih menjengkelkan apabila ianya seolah-olah dibiarkan berlaku. Apabila keadilan itu dinafikan dalam parti yang berlandaskan Keadilan - apakah makna Keadilan?" soal beliau.

Ditanya jika protes itu didalangi pemimpin tertentu untuk menggagalkan perjalanan Kongres PKR, beliau menafikan malah menganggap ia sebagai satu kempen untuk menyedarkan orang ramai supaya mendesak pemimpin parti memandang serius segala aduan dan masalah yang berlaku di setiap cabang dan sepanjang proses pemilihan.

"Saya menyeru kepada semua anggota parti terutamanya anak muda menyertai kumpulan kami untuk bersama-sama mencari keadilan yang kian terperosok.

"Jika Pemilihan 2010 adalah satu punca kepada barah yang bakal merosakkan parti, maka kitalah yang menjadi ubatnya untuk melawan barah tersebut," katanya - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive