21 December 2010

Kemalangan di Cameron Highlands -"Kepala mereka pecah dan otak bertaburan di atas jalan"


IPOH: “Kejadian berlaku begitu pantas dan saya melihat beberapa penumpang tercampak keluar selain ada antara mereka diseret badan bas yang menggelongsor lebih 50 meter,” kata Monat Rahen, 19, antara saksi terawal kemalangan terburuk dalam sejarah negara yang mengorbankan 27 nyawa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, 24 pelancong Thailand dan tiga rakyat tempatan terbunuh manakala 10 lagi parah apabila bas persiaran dua tingkat dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, berhampiran Kampung Juang, di sini.


Monat berkata, sebelum kejadian dia yang memandu Proton Satria bersama seorang di sebelahnya, melihat bas terbabit yang datang dari arah bertentangan meluru laju ketika muncul dari selekoh tajam di depannya.

Melihat keadaan itu, dia memperlahankan kenderaan kerana tidak sedap hati melihatkan keadaan badan bas dua tingkat itu yang tidak stabil dan senget seperti mahu terbalik.

“Firasat saya benar-benar berlaku apabila bas itu merempuh konkrit pembahagi jalan menyebabkan ia terbalik ke laluan bertentangan dan menggelongsor sebelum terhumban ke dalam longkang satu meter,” katanya.

Menurutnya, jarak kereta dipandunya dengan tempat bas itu terhumban ke dalam longkang kira-kira 50 meter.

“Tindakan saya memperlahankan kelajuan menyelamatkan nyawa saya dan rakan kerana jika tidak pasti kereta kami dihimpit bas itu kerana kenderaan kami berada di depan sekali ketika kejadian,” katanya.

Monat berkata, selepas memberhentikan kenderaannya, dia bersama rakan segera ke tempat kejadian dan hatinya sayu apabila melihat ramai penumpang bergelimpangan atas jalan.

“Sebahagian besar mereka parah dan sudah tidak bergerak, dipercayai sudah meninggal dunia. Saya mengangkat beberapa mangsa yang parah ke tepi jalan,” katanya.

Seorang lagi saksi yang menaiki bas henti-henti yang ketika itu berada tidak jauh di belakang kereta dinaiki Monat, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, berkata dia tidak berani membantu mangsa kerana begitu ngeri melihat keadaan beberapa penumpang terutama yang tercampak atas jalan dan diseret bas.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Damai, di sini, berkata dia menaiki bas itu bersama tiga rakannya untuk bercuti ke Cameron Highlands.

“Bas kami berhenti mengejut sebelum pemandu memberitahu berlaku kemalangan. Saya bersama rakan turun untuk menghulurkan bantuan selepas melihat dari jauh terdapat ramai orang bergelimpangan atas jalan.

“Bagaimanapun, saya membatalkan hasrat itu kerana terlalu takut melihat keadaan mangsa yang bergelimpangan dan tersepit dalam bas dalam keadaan mengerikan.

“Saya percaya kebanyakan mangsa sudah meninggal dunia selain kaki dan tangan mereka patah, malah kepala beberapa mangsa juga pecah dengan otak bertaburan atas jalan. Keadaan ketika itu begitu menyayat hati dan menakutkan,” katanya - Metro




Bas melulu ketika turun bukit Cameron Highlands - Berita Harian

SIMPANG PULAI: “Saya melihat bas persiaran itu terhoyong-hayang dan laju turun bukit membelok selekoh tajam. Selepas itu, bas dua tingkat itu terus langgar konkrit pembahagi jalan sebelum terbalik ke dalam longkang dengan bahagian bumbung menghentam batu bukit,” kata Monat Rahen, antara saksi terawal yang melihat kemalangan itu di Kilometer 15 di sini, pagi semalam. Monat, 19, berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika bersama seorang lagi rakan menaiki kereta dalam perjalanan menghala ke Cameron Highlands. “Kami lihat ada penumpang tercampak keluar dari bas, termasuk kanak-kanak dan warga emas. Keadaan menjadi cemas apabila kebanyakan penumpang cedera dan menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi saksi, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, berkata ketika tiba di kawasan kemalangan itu, dia melihat ada seorang warga emas berusia lingkungan 60-an sudah tercampak keluar dari kenderaan itu.

Dia juga melihat mayat bergelimpang atas jalan raya, termasuk ada kanak-kanak terbaring dalam longkang dipercayai tercampak dari bas serta beberapa mangsa yang cedera dan berlumuran darah keluar dari bas yang terbalik.

“Saya bersama tiga lagi rakan lain dalam perjalanan bercuti di Cameron Highlands menaiki bas henti-henti bersama lebih 10 penumpang lain. Pemandu bas kami terpaksa menghentikan kenderaan selepas laluan itu ditutup. Saya dan penumpang lain berusaha membantu, tetapi keadaan terlalu ngeri.
“Tangisan dan jeritan meminta tolong kedengaran dari bas yang terbalik, selain kelihatan banyak darah di bahagian tempat duduk. Sejurus kemudian, pasukan penyelamat tiba dan saya melihat ada mayat dibawa keluar dari bas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Aminudin Abdul Rahim, berkata ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari, beliau melihat ada beberapa tubuh bergelimpangan di jalan raya dan ada yang terhumban dalam longkang, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kepala dan tubuh cedera parah, manakala semua mangsa dalam bas tersepit di tempat duduk.

“Saya ada nampak seorang kanak-kanak dalam bas dan mendengar bunyi orang mengerang kesakitan, jadi kami berusaha menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Beliau berkata, mangsa pertama yang cedera dikeluarkan pada jam 12.13 tengah hari, manakala, mangsa terakhir pada jam 2.55 petang, manakala sebahagian besar mangsa duduk di tingkat atas bas berkenaan - BH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive