21 December 2010

Tenang perlu Pembangkang

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Rakyat Johor, terutama mereka yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis perlu berfikir lebih jauh tentang kedudukan mereka kini yang memerlukan suara pembangkang di Johor, bagi membela nasib mereka sendiri.

Suara-suara rakyat masih terlalu banyak yang perlu diketengahkan di dalam persidangan Dun Johor, tetapi ia tidak akan memadai jika suara pembangkang, khususnya dari PAS, hanya diwakili dua kerusi sahaja iaitu Sungai Abong dan Maharani.

Adun Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh (gambar) menegaskan, sedangkan kedua-dua kerusi PAS itu mewakili kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jadi, katanya Johor sememangnya memerlukan sekurang-kurangnya satu kerusi bagi mewakili kawasan Felda atau kampung bagi kepentingan rakyat negeri itu.

Menurut beliau, dengan dua kerusi yang diwakili PAS itu, rakyat Johor sudah nampak peranan yang mereka mainkan.

Tetapi, ujarnya jika Dun Tenang yang mewakili kawasan Felda atau kampung juga dimenangi PAS, rakyat juga dapat menilai dengan lebih jauh tentang kemampuan wakil-wakil rakyat PAS yang bukan sahaja boleh mewakili kawasan bandar dan pinggir bandar, tetapi juga bagi kawasan Felda atau kampung di negeri itu.

"Isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat di negeri Johor memang banyak. Setiap kali persidangan Dun berlangsung, saya pasti akan mengemukakan pelbagai soalan dan membahaskan pelbagai perkara bagi kepentingan rakyat. Antaranya ada yang dijawab tetapi tidak tepat. Lebih jauh dari itu, ada yang tidak dijawab langsung.

"Sekiranya Dun Tenang juga diwakili pembangkang khususnya PAS, persidangan pasti akan menjadi lebih bererti kepada rakyat kerana pasti akan lebih banyak lagi perkara-perkara yang akan dibangkitkan oleh pihak PAS bagi kepentingan rakyat. Inilah yang perlu difikirkan lebih jauh oleh rakyat Johor terutama penduduk di kawasan Tenang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, antara beberapa isu yang dikemukakan dalam persidangan Dun Johor penggal lalu yang tidak dijawab oleh kerajaan BN, dengan tepat seperti yang dikehendakinya termasuklah isu-isu yang melibatkan proses permohonan tanah untuk rakyat yang begitu lambat dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat.

"Antara isu yang tak dijawab langsung pula termasuklah soalan yang saya kemukakan dalam persidangan baru-baru ini yang menyentuh tentang kenapa belanjawan dari Kerajaan Pusat untuk negeri Johor bagi Rancangan Malaysia Ke-9 sehingga kini baru dibelanjakan sebanyak 60 peratus sedangkan di Perak yang diperintah oleh kerajaan BN kini dah dibelanjakan sehingga 93 peratus.

"Kejadian seperti itu tidak seharusnya berlaku. Peruntukan itu cukup bererti bagi rakyat Johor, tetapi jika ia tidak dibelanjakan dengan baik, ia tentunya merugikan rakyat," katanya.

Dengan dua suara sahaja di Dun Johor yang diwakili PAS, menurutnya, kerajaan BN Johor terpaksa berhati-hati dalam setiap tindakannya.

Tetapi, kata beliau sekiranya Tenang turut diwakili PAS, ia akan menjadi lebih bererti kepada rakyat kerana pelbagai soalan lain sama ada yang melibatkan rakyat Johor keseluruhannya dan untuk penduduk di kawasan yang diwakili wakil rakyat terbabit akan dapat diketengahkan dengan lebih banyak lagi dan dengan lebih berkesan dalam persidangan Dun.

Kawasan Dun Tenang mempunyai 50 peratus kaum Melayu dan 50 peratus bukan Melayu.

Kebanyakan orang Melayu di kawasan itu adalah para peneroka yang tinggal di empat kawasan Felda. Kaum-kaum lain seperti Cina sekitar 38 peratus yang kebanyakannya tinggal di Pekan Labis, manakala India pula 12 peratus.

Kepada orang Melayu khususnya para peneroka di kawasan itu, beliau mengingatkan agar berfikir lebih jauh kerana amat banyak perkara yang menyentuh diri mereka sendiri yang perlu dibela oleh mereka dan mereka hanya akan terbela jika mereka memilih calon PAS untuk mewakili mereka di Dun Johor.

"Antara perkara yang perlu dihalusi oleh mereka termasuklah yang melibatkan kedudukan mereka sendiri yang memiliki 10 ekar tanah untuk diterokai bagi penanaman kelapa sawit tetapi mereka tidak juga senang. Sedangkan jika tanah sebanyak itu dimiliki oleh pihak lain seperti Sime Darby, keuntungan yang diperolehinya sekitar 10 kali ganda.

"Kenapa kejadian itu berlaku? Jawabnya kerana keuntungan itu Felda yang ambil. Sepatutnya peneroka yang dapat. Itulah nasib para peneroka Felda. Jika mereka tidak memilih pembangkang khususnya PAS bagi mewakili mereka khususnya di Dun Tenang, siapa yang hendak membela nasib mereka? Inilah yang perlu difikirkan oleh mereka, khususnya orang-orang Melayu di kawasan itu.

"Bagi kaum lain terutama Cina di kawasan itu, mereka faham dan sedar sebab itulah kebanyakan mereka tidak teragak-agak memberikan undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya. Tetapi bagi orang Melayu, mereka bagaikan tak nampak kepentingan mereka memilih Pakatan Rakyat. Itulah sebabnya orang-orang Melayu khususnya yang tinggal di kawasan Felda terus tertindas oleh pihak pemerintah khusnya kerajaan BN," tegasnya. - HD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive