KUALA LUMPUR, 4 Dis: Seluruh mahasiswa khususnya dari Lembah Klang dan Selangor diseru bergabung dengan Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (Permasis) dalam Perhimpunan aman "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" esok.
Menurut Setiausaha Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ridzuan Othman, penyertaan mahasiswa dalam serahan memorandum ke Istana Negara esok akan memberikan mesej jelas kepada kerajaan bahawa mahasiswa akan mempertahankan hak-hak rakyat dan mengutuk keras tindakan mana-mana pihak yang berterusan membebankan rakyat.
"Saya menggesa dan menyeru mahasiswa Selangor terutamanya dan seluruh mahasiswa yang lain bergabung tenaga dan bersama turun menyatakan hak rakyat untuk menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong esok.
"Di peringkat mahasiswa, saya mengharapkan seluruh mahasiswa bergabung bersama dengan Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (PERMASIS) yang diketuai oleh Saudara Izzudin Hilmi dan beberapa gerakan mahasiswa yang lain," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Mereka dijangka akan berkumpul bersama-sama kumpulan baju merah di Masjid Negara tengahari esok bagi menentang kenaikan harga air sebanyak 37 peratus di negeri itu.
Ianya sebagai sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yangakan menyerahkan sendiri memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan itu, seluruh mahasiswa katanya akan memberikan komitmen untuk mempertahankan hak-hak dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
"Langkah Kerajaan Selangor dalam memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri Selangor adalah salah satu usaha murni yang sewajarnya diikuti oleh semua kerajaan negeri yang lain," katanya.
Tambahnya, dalam keadaan harga barang dan minyak yang semakin meningkat dari sehari ke sehari, kos keperluan rakyat semakin meningkat dan langkah memberikan air percuma sedikit sebanyak dapat meringankan beban tanggungan mereka.
"Amat malang apabila Syabas seboleh mungkin terus-terusan ingin menaikkan kadar tarif air yang sekaligus membebankan rakyat Selangor. Syabas adalah syarikat kerajaan negeri tetapi tidak menjalankan dasar-dasar kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) telah diberi lampu hijau oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Rosti Saruwono untuk menyertai perhimpunan esok
1 comment:
sabahal khair
air hak Allah kenapa nak jual
ANTI PTPTN
Post a Comment