04 December 2010

PAS arah pemimpin tutup mulut isu 'ketuanan melayu' tunggu 12 Disember

KUALA LUMPUR, 4 Dis – PAS meminta semua pemimpinnya agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan polemik – khususnya mengenai isu-isu semasa dipercayai soal “Ketuanan Melayu”, negara Islam dan jawatan timbalan perdana sehingga parti itu mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat 12 Disember ini.

“Saya meminta semua pemimpin tertinggi parti tidak membuat sebarang kenyataan yang dimainkan oleh media sekarang ini sehingga menimbulkan terus polemik kerana ia akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat kita 12 Disember ini,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dipetik Harakah Daily hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika ramai meramalkan Umno-BN akan meningkatkan serangan ke atas Pakatan Rakyat yang kini memerintah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut isu-isu semasa yang dimaksudkan.

Dalam kenyataan dua perenggan kepada Harakah Daily itu, Mustafa berkata, beliau bimbang kalau-kalau ia terus menyusahkan PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia memang menjadi tujuan pihak dan media-media berkenaan untuk melagakan mereka.

Tindakan berhati-hati itu diambil memandangkan wujud spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 dikatakan semakin dekat.

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvesyen keduanya 19 Disember ini.

Laman web itu melaporkan ada di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat bimbang kalau-kalau konvensyen kali ini akan menjadi medan serang-menyerang antara mereka, bukannya membuat persiapan ke arah pilihan raya umum.

Sejak kebelakangan ini, media-media tertentu mula memainkan kembali isu sensitif yang melibatkan hubungan antara PAS dan komponen Pakatan Rakyat.

Sesetengah pihak pula melihat, ia berlaku kerana sikap sesetengah pemimpin PAS yang terus melayan isu berkenaan apabila dipancing oleh media.

Antara isu panas sejak akhir-akhir ini adalah isu timbalan perdana menteri, ungkapan Ketuanan Melayu dan negara Islam.

Berdasarkan kenyataan Mustafa itu, PAS akan membincangkannya dalam mesyuarat mereka 12 Disember ini.

Mustafa berharap sehingga ia diputuskan minggu depan, tidak ada mana-mana pemimpinnya memberikan pendapat kepada mana-mana media.

“Tunggulah sehingga kita mesyuarat dan bincangkan isu ini terlebih dahulu,” katanya. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive