04 December 2010

Subsidi IPP - Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mempersoal tindakan kerajaan tidak menyusun semula subsidi dinikmati pengeluar tenaga bebas (IPP), yang dipercayai RM19 bilion, sedangkan hanya menyelaras subsidi bahan api dan gula buat kali kedua, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusinya Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata demikian ekoran pentadbiran Najib berpendapat bahawa langkah itu perlu untuk mengurangkan perbelanjaan negara.

“Persoalannya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19 bilion tidak dipotong... kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

“Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas,” ujar Ahmad Syazwan kepada The Malaysian Insider.

Ahmad Syazwan turut mempersoal rancangan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan projek menara 100 tingkat Warisan Merdeka yang menelan belanja RM5 bilion serta penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang didakwa menelan belanja RM66 juta.

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencecah RM5 bilion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Ahmad Syazwan melihat langkah kerajaan itu bukan sahaja tidak rasional, malah membebankan golongan mahasiswa sendiri.

“Mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsidi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

“Sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan tarik hak rakyat marhaen.

Kenaikan harga komoditi ini tidak serentak dengan kenaikan pendapatan rakyat akan menyebabkan kos sara hidup dan beban rakyat akan bertambah.

“Kesan ini juga akan mengena kepada mahasiswa yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN yang sedikit ditambah beban yang mahal,” ujarnya lagi.

Oleh itu katanya, Gamis mahu Najib menilai semula cara kerajaan mengurus tadbir belanjawan negara.

Harga petrol RON95 mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) mulai hari - kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib.

Turut mengalami kenaikan ialah diesel, naik lima sen kepada RM1.80 seliter.

Ekoran pelarasan itu, RON95 akan dijual RM1.90 seliter.

Pelarasan itu juga membawa kepada kenaikan gas petroleum cecair kepada RM1.90kg iaitu naik lima sen berbanding sekarang.

Kedua-dua bahan api petrol dan diesel serta LPG dan gula mengalami kenaikan pada Julai lalu apabila dasar pelarasan diperkenalkan dalam usaha kerajaan mahu mengurangkan subsidi.

Petrol RON97 yang tidak disubsidi telah mengalami kenaikan pada 1 November dan 1 Disember lalu, tetapi kerajaan tidak membuat pengumuman atas alasan ia perubahan kerana pengapungan harga.

RON97 tidak mengalami kenaikan kali ini.

Dengan pelarasan kali ini, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan RM621.9 juta dari produk petrol RON95, RM213.2 juta (diesel), RM63.5 juta (LPG) dan RM283.5 juta (gula) setiap tahun ataupun RM1.18 bilion.

Pada Julai lalu, kerajaan menjangkakan harga tidak akan naik sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala berkata, pelarasan subsidi diperlukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Kami melakukan yang ini (pelarasan subsidi) untuk memastikan defisit kita dapat dikurangkan. Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Kami akan memastikan kita hidup dalam lingkungan keupayaan (kita),” kata beliau pada majlis taklimat pengumuman pelarasan subsidi di pejabatnya petang tadi.

Kata beliau, walaupun ada kenaikan lima sen, harga jualan RON95 dan juga LPG serta diesel dan gula masih rendah berbanding di Indonesia.

“Lebih rendah berbanding Singapura dan Thailand,” katanya. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive