09 January 2011

Pemuda Umno paling lemah di era Khairy

SEREMBAN: Pakatan Rakyat tidak pernah mengiktiraf kemenangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang menyatakan hasrat tidak mahu mempertahankan parlimen Rembau.

Malah Setiausaha PKR cabang Rembau, Norazizi A Aziz, menyifatkan Pemuda Umno di dalam era Khairy ini adalah yang paling lemah dalam sejarah kerana kita tidak nampak sebarang perjuangan yang berasaskan kepada mendahulukan kepentingan rakyat.

“Mustahil Pakatan Rakyat mahu mengiktiraf Khairy sedangkan Umno sendiri jelas meminggirkan Khairy. Lagipun apa sumbangan dan jasa Khairy kepada rakyat yang boleh diiktiraf?” kata Norazizi.

Menurut Norazizi, tindakan Ketua Pemuda PAS Nasarudin Hassan mempelawa Khairy menyertai PAS bukan atas dasar pengiktirafan tetapi adalah atas rasa belas kasihan melihat Khairy teruk dibuli di dalam Umno.

Baru-baru ini, ketua Pemuda PAS itu meminta menantu bekas perdana itu berjuang bersama Pemuda PAS.

“Saya tidak berminat untuk mencampuri urusan dalaman Umno namun semua orang tahu yang Khairy dipinggirkan apabila tidak dilantik ke jawatan menteri mahupun jawatan timbalan menteri padahal naib Ketua Pemuda mahupun pesaing beliau dalam jawatan ketua Pemuda Umno telah mendapat tempat timbalan menteri.

“Ketika itu alasan Khairy adalah perlu memberikan fokus terhadap golongan anak muda. Namun setelah berlaku rombakan, Khairy tetap diketepikan dan inilah yang mengecewakan beliau sebenarnya,” kata Norazizi.

Menurut beliau lagi, jarang berlaku dalam sejarah umno di mana seorang pemegang jawatan Ketua Pemuda Umno tidak mendapat jawatan menteri kabinet.

“Program dan aktiviti Pemuda Umno lebih kepada sekadar mendapatkan publisiti tanpa mendasari denyut dan nadi kesusahan rakyat.

“Pemuda Umno alam era terdahulu lebih kepada kuasa pendesak dalam Umno sendiri namun Pemuda Umno di era Khairy lebih kepada menjadi “tukang angguk” kepada segala keputusan pihak atasan Umno.

“Khairy juga gagal memainkan peranan beliau sebagai ahli parlimen Rembau apabila beliau gagal menunaikan janji pilihanraya PRU 12 yang lepas.

“Mana hospital Rembau? Ke mana hilang Pusat tuisyen emas untuk pelajar miskin Rembau? Mana Uitm Rembau dan mana lapangan terbang yang dijanjikan? Rakyat Rembau masih menunggu,” katanya lagi.

Norazizi juga menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Khairy ini adalah untuk memancing rasa simpati pimpinan atasan Umno agar memberi perhatian terhadap beliau namun sehingga kini tiada sebarang respon terhadap tindakan beliau yang merajuk setakat ini.

“Pesanan saya pada beliau hanya satu; tiada istilah merajuk dalam kamus seorang pejuang rakyat.” katanya seperti dilapor dan blog Chegu Bard hari ini

1 comment:

Irwan said...

Tenggelam terus dah section Pemuda UMNO sejak Keri ambik alih.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive