26 January 2011

PRK Tenang : Samseng umno ganggu ceramah Guan Eng

LABIS: Tindakan sekumpulan Pemuda BN, sebahagian besarnya Pemuda Umno mengganggu ceramah Pakatan Rakyat yang dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng di Tenang malam tadi, disifatkan sebagai perbuatan samseng dan biadap.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Zabidie Abas berkata, beliau kesal dengan tindakan kumpulan berkenaan yang bertujuan melakukan provokasi bagi mencetuskan kejadian yang tidak diingini berlaku pada Pilihan Raya Kecil itu.

“Mereka mengadakan program berkumpul bertentangan dengan ceramah Pakatan , mengajuk dan melaung-laung kepada kita, bercakap yang tidak senonoh serta mengutuk Anwar. Tindakan ini bertujuan untuk menaikkan kemarahan kita.

“Tindakan Umno menggunakan anak-anak muda ini menunjukkan budaya samseng, biadap dan tidak menggambarkan ciri keharmonian sebuah negara,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Menurut Zabidie, AMK tidak memberi respon kepada kumpulan berkenaan tetapi mengawasi keadaan supaya penyokong Pakatan Rakyat tidak bertindak balas terhadap provokasi ahli parti itu.

“Kita tahu tindakan Umno ini semata-mata untuk mencetuskan pergelutan dan mereka mahu kita memulakan pergaduhan. Mereka sudah merasa tergugat dan terdesak kerana mereka tahu Umno-BN boleh dikalahkan dalam Pilihan Raya Kecil ini,” kata beliau.

Pada ceramah yang diadakan di Felda Cempelak Barat malam tadi, sekumpulan pemuda BN berhimpun dan membuat bising di halaman rumah seorang penduduk yang terletak bertentangan dengan perkarangan ceramah tersebut.

Menurutnya Zabidie, kumpulan itu juga melaungkan kata-kata kesat berunsur perkauman apabila menggelar Lim Guan Eng sebagai kafir dan turut membawa sepanduk ketika Ketua Menteri Pulau Pinang itu berceramah menerangkan dasar Pakatan di Pulau Pinang, antaranya mengembalikan peruntukan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu.

Meskipun terpaksa berucap dalam keadaan diganggu kumpulan berkenaan, Guan Eng sempat menyelar Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek kerana menimbulkan isu bertudung calon Pas, Normala Sudirman. Beliau juga menggesa MCA meminta maaf kepada masyarakat islam.

Mengulas lanjut, Zabidie menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bersikap profesional dan tidak berat sebelah dalam mengawasi perjalanan PRK kali ini.

Beliau turut merujuk tindakan menurunkan bendera Keadilan oleh pihak yang tidak dikenali, sedangkan bendera terbabit dipasang di bilik Gerakan Keadilan dan bukan di tempat awam.

“Apa yang pelik, bendera MCA, MIC tidak diturunkan malah bendera Umno juga didapati banyak dipasang. SPR sebelum ini mengatakan hanya bendera BN dan Pas sahaja yang dibenarkan,” ujarnya.

Zabidie dalam masa yang sama juga meminta SPR supaya turut mengenakan larangan terhadap sebarang pemasangan bendera atau logo 1 Malaysia yang secara tidak langsung merujuk kepada Barisan Nasional.

“Kita minta SPR bertindak tegas untuk melarang baju atau logo 1Malaysia yang boleh mempengaruhi pengundi semasa hari mengundi nanti,” ujarnya - Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive