02 March 2011

Saya tak musuhi Umno tapi pemimpinnya yang zalim - DSAI

JASIN 2 Mac : Dalam kunjungan pertama ke Merlimau sejak kempen rasmi bermula Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bermusuh dengan Umno, parti Melayu terbesar sebaliknya memusuhi pemimpin-pemimpin Umno yang zalim kepada rakyat.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Permatang Serai di sini malan tadi sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

“Saya diberitahu Merlimau ini adalah kubu kuat Umno, saya dah tahu... saya tak masuk untuk bermusuh dengan orang, saya ambil keputusan untuk bersama (dalam politik) untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

“Saya tak bermusuh dengan Umno, saya bermusuh dengan pemimpin yang zalim, yang tak selesaikan masalah rakyat dan mengamalkan rasuah,” katanya.

Ini ceramah pertama Anwar sempena kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau yang menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan calon PAS Yuhaizat Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Dalam ucapannya, Anwar juga menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi sesiapa termasuk dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

“Bukan saya yang serang peribadi dengan Najib dan (Mohd) Ali Rustam, saya tiada musuh peribadi,” tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Usaha Anwar itu dilihat untuk meraih sokongan penyokong Umno-BN di Merlimau yang merupakan kubu kubu kuat parti itu.

Kira-kira 500 orang menghadiri ceramah itu.

Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Siti Mariah Mahmud menggesa supaya mengundi di DUN Merlimau agar bangkit untuk membuat perubahan terhadap sistem pentadbiran negara.

“Saya percaya kita boleh buat satu kejutan untuk mengubah landskap politik negara bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Negara kini mempunyai masalah yang lebih besar di bawah pemerintahan Umno-BN, mereka tidak menyelesaikan semua masalah di peringkat akar umbi, sebaliknya hanya membuat tempelan yang akhirnya ia menjadi satu barah yang teruk,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menambah, semua masalah yang timbul itu tidak akan dapat diselesaikan oleh Umno-BN disebabkan terlalu banyak penyelewengan.

“Ini yang terjadi pada Umno-BN, mereka sudah tidak mampu untuk mengawal kegagalan mereka selepas 53 tahun memerintah.

“Saya tak nampak Umno-BN berusaha untuk selesaikan masalah di peringkat akar umbi tapi hanya membuat tempelan untuk jangka masa pendek, kemudian masalah sama berulang semula,” katanya. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive