18 May 2011

Anwar akan terus ketuai Pembangkang walau dalam penjara : Guan Eng


Oleh Clara Chooi
May 18, 2011KUALA LUMPUR, 18 Mei —

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen jikapun dipenjarakan atas tuduhan liwat kelak.

Lim berkata kepimpinan Pakatan Rakyat bersetuju agar Anwar terus memegang jawatan itu “selagi beliau masih Ahli Parlimen” dan sehingga tiada lagi ruang penyelesaian dari segi undang-undang.

“Selagi beliau (Anwar) masih Ahli Parlimen, beliau tidak akan digantikan,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Festival George Town 2011 di sini.

Lim  menegaskan walaupun Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat, Ketua Umum PKR itu masih mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan.

“Beliau tidak hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya kerana beliau dipenjarakan. Sama seperti saya ketika saya dipenjarakan, saya masih Ahli Parlimen. Saya masih Ahli Parlimen sehingga rayuan saya diterima.

“Jadi jika anda akan dipenjarakan, anda boleh mengemukakan rayuan dan meminta agar diberi pengampunan. Saya telah menjadi Ahli Parlimen selama enam hingga sembilan bulan sehingga permohonan diberi pengampunan diterima,” katanya.

Lim juga berkata perkara itu telah dipersetujui dalam kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

“Anda boleh mempercayai saya. Ia juga dari semua pemimpin Pakatan Rakyat... saya boleh umumkan... saya boleh katakan. Perkara lain saya tidak boleh,” katanya.

Lim bagaimanapun menolak daripada menjawab sama ada Pakatan Rakyat mempunyai apa-apa rancangan andaikata Anwar gagal rayuan.

“Kami akan umumkan bila tiba masanya,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan Pakatan Rakyat akan tetap bersama walaupun Anwar dipenjarakan.

“Kami tidak akan berpecah. Tidak kira sama ada ia positif atau negatif,” katanya.

Apa sahaja khabar angin mengenai perpecahan Pakatan Rakyat, kata Lim, ia akan dipromosikan akhbar yang dimiliki Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat teguh dan kami akan teruskan perjuangan untuk membawa perubahan Malaysia,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive