Hari ini saya mewakili seluruh pimpinan Keadilan Selangor mendedahkan bahawa kami telah berjaya mengesan bahawa seramai 2000 orang warga asing didakwa telah disenaraikan oleh Umno Bahagian Hulu Selangor untuk tujuan proses pertukaran status kerakyatan, dengan mendapat bantuan penuh dari pihak Kementerian Dalam Negeri.
Jelas, taktik kotor ini bertujuan untuk memanipulasi undi agar dapat membantu Umno merampas semula Selangor pada PRU13 kelak. Saya yakin, ini hanya salah satu bukti dari beratus-ratus taktik kotor Dato Seri Najib Razak dan Umno Selangor yang telah dirancang.
Malah, saya juga yakin bahawa kerjasama dari pihak rakyat dalam menyalurkan maklumat penyelewangan seperti ini membuktikan suatu penolakan besar-besaran dari pihak rakyat sendiri terhadap dasar kepimpinan beliau.
Dato Seri Najib selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor kini seharusnya lebih gentar dan berhati-hati kerana senario politik dan ritma kehendak rakyat kini sudah lebih matang dan tidak lagi mampu diperbodohkan dakyah media yang berat sebelah lagi. Taktik Umno menggunakan media untuk menjatuhkan imej pimpinan dan Pakatan Rakyat nampaknya sudah gagal.
Saya menyarankan agar mulai hari ini supaya Dato Seri Najib bersedia kerana kami barisan pimpinan Keadilan Selangor akan mendedahkan lebih banyak bukti penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Umno selepas ini.
Sekian. Terima kasih
YB HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
TIMBALAN PENGERUSI KEADILAN SELANGOR
MERANGKAP KETUA WANITA KEADILAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment