07 May 2011

Pertemuan Paderi : Bersedia hadapi tindakan - Timb KPN

Polis akan menyiasat dan mengambil tindakan yang perlu berhubung dakwaan dua blogger tempatan berkaitan isu agama yang disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila menimbulkan isu-isu sedemikian dan bersedia menghadapi tindakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai laporan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan tajuk "Kristian agama rasmi?" selepas melancarkan program papan iklan dalam konteks pencegahan jenayah di Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Khalid turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang isu sensitif berkaitan agama kerana hal berkenaan boleh merosakkan keharmonian di negara ini.

"Kita tidak boleh biarkan isu-isu sebegini dimainkan oleh mana-mana pihak... jadi saya nasihatkan supaya jangan cuba bermain api nanti terbakar tangan," katanya.

Khalid berkata apa jua isu berkaitan dengan agama, jika tidak ditangani dengan betul, akan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam dan polis tidak akan membiarkan perkara itu.

Mengenai laporan media berhubung dakwaan seorang ibu yang kononnya ditipu RM13,000 anggota polis yang menahan dua anaknya, dipercayai terbabit dengan kes curi motosikal, Khalid berkata pihaknya telah mengenal pasti pemilik akaun bank yang dimasukkan wang berkenaan.

Siasatan masih sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya dan menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak demikian kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Rasuah.

"Kalau ada polis minta duit, lapor kepada kita (polis), ketua polis dan sebagainya dan kita akan ambil tindakan. Kita tidak akan membiarkan sesekali anggota kita terlibat dengan perkara sedemikian," katanya.

Menyentuh mengenai kempen pencegahan jenayah melalui papan iklan, Khalid berkata ia adalah satu strategi bagi memperkasakan lagi usaha pencegahan jenayah di negara ini, dan merupakan inisiatif Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah.

"Memang kita tengok di negara luar banyak kempen seperti ini dijalankan, dan ia cukup berkesan. Saya harap ia membuahkan hasil untuk mengurangkan jenayah di negara ini," katanya.

- Bernama

1 comment:

Anonymous said...

Bakal KP yang akan mengulangi sejarah KP yang lepas.
Pakat-pakat doalah agar Malaysia ni selamat.
AKU RASA MALAYSIA AKAN AMAN TANPA TUKANG KARUT BANGANG!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive