22 June 2011

Ibrahim Ali badut yang tidak relevan

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Selepas Pemuda Umno, kini DAP pula mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengugut kaum Cina di negara ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Ibrahim walaupun beliau mengeluarkan kenyataan rasis mengenai Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.

“Ibrahim Ali seorang badut yang tidak relevan. Lebih menyedihkan adalah sikap berdiam diri Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tan Sri Ismail Omar.

“Mereka perlu memberitahu sebab mengapa Ibrahim mendapat imuniti dan bebas mengeluarkan kenyataan yang menghasut sedemikian,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas yang memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar dan menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini atas alasan ‘apa sahaja boleh berlaku dan mereka perlu simpan bekalan makanan yang secukupnya pada tarikh tersebut.’

Pada Ahad, beliau bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

Mengulas lanjut mengenai Bersih, Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai Perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

“Saya ingin menyeru Najib, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet dan pemimpin BN tampil dan menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 untuk menuntut sebuah pilihan raya bersih dan adil.

“Perhimpunan Bersih 2.0 akan menjadi satu tarikh bersejarah di negara ini,” katanya. - mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive