17 June 2011

Suami masih boleh 'curi makan' walau beristeri empat - Mashitah

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang dari awal lagi tidak setuju dengan idea Kelab Taat Suami menegaskan suami masih boleh berlaku curang meskipun isteri sangat taat kepada pasangannya.

“Betapa taat sekalipun isteri, suami masih boleh berlaku curang. Malah, orang yang beristeri empat pun masih lagi curi makan!” kata beliau dalam ruangannya di Sinar Harian hari ini, di bawah tajuk “Taat sehingga boleh diliwat?”, yang menyentuh penubuhan Kelab Taat Suami baru-baru ini.

Sehubungan itu kata beliau, matlamat wanita adalah mahu menjadi isteri kelas pertama, bukan “pelacur kelas pertama.”

“Pada saya, tiada perlunya kelab seperti ini (Kelab Taat Suami) di Malaysia kerana ia bukan bertujuan menyelesaikan sesuatu masalah yang kritikal.

“Jangan lepas ini ada pihak yang mahu tubuhkan kelab suami taat, yang menganjurkan suami menjadi gigolo kelas pertama pula,” katanya.

Kata beliau, cadangan agar isteri melayan nafsu seks suami seperti pelacur kelas pertama menjatuhkan maruah wanita.

“Ia mengukuhkan stereotaip wanita sebagai objek seks, lemah dan rendah intelek.

“Bagi mereka yang tidak pernah melanggan pelacur atau mendapat perkhidmatan pelacur kelas pertama, mereka tidak tahu cara, tapi bagaimana pula kelab itu tahu aksi pelacur kelas pertama memberi perkhidmatan?” kata timbalan menteri.

Kata beliau, daripada respons masyarakat umum, ramai juga lelaki termasuk suami dan bapa berasa terhina cadangan ini kerana tidak mahu isteri dan anak perempuan diistilah pelacur.

“Justeru, apakah motif sebenar Kelab Taat Suami membuat cadangan itu?

“Kelab Taat Suami adalah penjenamaan semula Kelab Poligami Ikhwan, diasaskan Hatijah Aam, isteri kedua Ashaari Muhammad, pengasas kumpulan Al-Arqam,” katanya lagi.

Kata beliau, tujuan kelab itu adalah untuk memberi kaunseling pernikahan, pendidikan seks dan kefahaman tentang taat kepada suami.

“Pada asasnya nampak baik tetapi tujuan yang baik tidak serta-merta menghasilkan kebaikan jika jalan diambil adalah keliru, salah dan menderitakan orang.

“Penyampaian dan mesejnya juga tidak sesuai. Adakah ahli-ahli kelab ini mendidik anak-anak perempun mereka bermentaliti pelacur apabila berkahwin kelak?” kata Mashitah.

Tambah beliau, dalam rumah tangga memang menjadi tanggungjawab isteri taat dan melayan suami. Namun, tidak bermakna suami boleh lakukan apa sahaja terhadap isterinya.

“Suami juga kena hargai isteri yang bekerja dan penat lelahnya sepanjang hari mengurus rumah tangga dan keluarga,” kata beliau lagi.

Seterusnya Mashitah menulis, walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, tetapi jangan kaburi pemahaman isteri tentang taat atau pengorbanan semata-mata untuk berkahwin ramai.

“Taat isteri ada hadnya. Perbuatan suami yang menyeksa, memaksa atau mendorong isteri ke arah dosa dan mungkar tidak perlu diikuti,” katanya yang turut menekankan bahawa punca sesuatu perceraian tidak semesti kerana layanan seks isteri kepada suami tidak setaraf pelacur kelas pertama.

Kata Mashitah, ramai pasangan bercerai kerana masalah kewangan atau mentua, tiada persefahaman, malah kerana perbezaan politik pun ada.

“Jika suami makan luar, tidak semestinya salah isteri, suami masih boleh berlaku curang,” kata beliau.

“Pada saya, tiada perlunya kelab seperti ini di Malaysia kerana ia bukan bertujuan menyelesaikan sesuatu masalah yang kritikal,” kata beliau.

Dalam ulasannya minggu lalu, Mashitah berkata, Kelab Taat Suami cuba mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dan mencari populariti bagi menarik lebih ramai ahli menyertai kelab itu.

Mashitah berkata, kewujudan kelab itu juga menimbulkan tanda tanya kerana ia dibimbangi menjadi kelab yang digunakan oleh golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej “taat” kepada golongan isteri dengan cara yang salah.

Kata beliau, kewujudan kelab itu perlu dilihat semula bagi mengetahui siapa yang berada di sebaliknya yang mengambil inisiatif untuk menggerakkan kelab berkenaan.

Baru-baru ini, Naib Presiden Kelab Taat Suami Dr Rohaya Mohamed dipetik berkata golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti “pelacur kelas pertama.”

Bagaimanapun penganjur kelab itu menafikan pihaknya ada menggunakan istilah sedemikian.

Mashitah juga meminta Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab berkenaan.

1 comment:

otaklunyai said...

betina nih tak da isu lain nak ulas, semua pasal seks... agak dia ni yg gila seks ... dulu kata melacur tu harus... bila dah join geng amno laknat makin buat kerja laknat si betina nih...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive