KUALA LUMPUR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menafikan dakwaan ahlinya yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua dekat Butterworth malam kelmarin terlibat menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini.
“PSM bukan PKM (Parti Komunis Malaya) dan tuduhan itu tidak berasas,” kata Setiausaha Agungnya, S Arutchlevan.
“Tuduhan mengaitkan kita dengan komunis semata-mata usaha takutkan orang ramai untuk menjustifikasikan tindakan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” katanya pada sidang media di lobi Parlimen yang turut dihadiri Pengerusi PSM, Dr Mohd Nasir Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Selangor; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Kelmarin, 30 aktivis PSM ditahan di Plaza Tol Sungai Dua bersama risalah didapati mengandungi unsur ke arah cubaan menghidupkan semula fahaman komunis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, antara yang dirampas termasuk kemeja-T bertulis nama tiga bekas pemimpin PKM iaitu Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah.
Polis juga memohon perintah reman mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana diragui berniat mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong.
No comments:
Post a Comment