KUALA LUMPUR: Polis bersiap sedia untuk menangani sebarang kemungkinan berlakunya demonstrasi jalanan oleh segelintir kumpulan pada Sabtu ini walaupun pengerus Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga membatalkan rancangan untuk mengadakan perarakan di jalanan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak memandang remeh perkara itu walaupun Bersih bersetuju untuk mengadakan perhimpunan di stadium.
"Namun kami akan memastikan sekatan jalan dan pengubahan laluan tidak akan menimbulkan sebarang kesulitan kepada pemandu.
"Saya telah mengarahkan ketua polis negeri dan daerah untuk mengkaji semula pemeriksaan sekatan jalan raya. Ia hanya akan dijalankan jika benar-benar diperlukan.
"Keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai," katanya pada Rabu.
Khalid berharap agar orang ramai memahami tugas mereka untuk memperketatkan kawalan keselamatan ekoran penemuan molotov koktel dan sejenis parang di sekitar Gombak dan ibu negara, dua hari lalu.
Beliau turut berjanji mempercepatkan sebarang permohonan permit bagi perhimpunan itu dan tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana penganjur yang gagal berbuat demikian.
Khalid juga mengingatkan orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan itu supaya tidak membawa atau memakai apa saja berkaitan dengan Bersih.
Katanya, sehingga hari ini, sebanyak 3,256 laporan polis telah dibuat di seluruh negara ke atas Bersih manakala 235 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan perhimpunan haram itu dan 29 orang lagi didakwa di mahkamah.
Sementara itu, polis menemui sebuah beg yang mengandungi senapang patah di Petaling Jaya.
Polis berkata, beg itu ditemui oleh pengurus gim di luar sebuah rumah kedai di Taman Seri Manja pada Rabu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata senapang patah itu ditemui dalam sebuah beg yang dibaluti dengan kain kanvas berwarna kuning. mStar
No comments:
Post a Comment