KUALA LUMPUR: Arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein yang mengharamkan sekretariat Bersih, tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
“Seksyen 5 Akta Pertubuhan bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Surendran menyifatkan Hishammuddin menyalahgunakan kuasa apabila mengeluarkan perintah itu berikutan tindakan berkenaan bermotif politik bagi mengekang kritikan terhadap kerajaan Umno Barisan Nasiona (BN).
“Kami mengutuk keras tindakan Menteri Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.
“Bagaimanakah sebuah pergerakan untuk pilihan raya yang adil menjadi ancaman kepada keselamatan?
“Bagaimanakah sebuah perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni menjadi ancaman kepada keselamatan awam?” katanya.
Surendran juga menuntut perintah itu dibatal dan semua yang ditahan berkaitan dengan Bersih dibebaskan serta-merta.
Semalam, kerajaan mengisytihar Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram berkuatkuasa semalam, menurut Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata perisytiharaan itu dibuat Hishammuddin mengikut seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16399
No comments:
Post a Comment