01 July 2011

BERSIH 2.0 : "Potret Shamsiah Fakeh kami gunakan sejak Disember 2010" - Maria Chin

Ketua Empower dan kumpulan NGO wanita kecam tuduhan melulu polis.

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Malaysia (Empower) Maria Chin Abdullah hari ini menjelaskan bahawa potret Shamsiah Fakeh disalahguna oleh pihak polis untuk menuduh mereka sebagai pertubuhan komunis.

Pada hari kelmarin pihak polis telah membuat serbuan tanpa waran ke atas pejabatnya yang turut berfungsi sebagai pejabat urusetia Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

“Sebenarnya potret Shamsiah merupakan salah satu daripada 10 gambar yang kami gunakan untuk program kesedaran wanita bernama ‘Hidden Faces, Unheard Voices’ sejak Disember 2010,” kata Maria dalam satu sidang media di sini petang tadi.

Shamsiah Fakeh merupakan tokoh utama Angkatan Wanita Sedar (Awas) dalam perjuangan kemerdekaan era 1940an.

“Selain beliau, potret permaisuri Kelantan Cik Siti Wan Kembang dan tokoh wanita MCA BH Oon turut digunakan,” tambah beliau.

Maria yakin bahawa tuduhan melulu polis bahawa Empower cuba menghidupkan komunisme merupakan kaedah untuk mencemarkan nama baik Bersih 2.0.

Beliau turut mendedahkan notis 111 telah dihantar ke rumah beliau oleh beberapa anggota polis berpakaian biasa pagi tadi.

“Mereka mahu ambil kenyataan saya pukul 9 malam ini di ibu pejabat polis Petaling Jaya Seksyen 8 tetapi saya akan beri kenyataan pada hari lusa sahaja,” katanya lagi.

Berhubung Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, mesej Maria jelas: “Tindakan menangkap saya dan ahli lain tidak akan menghentikan himpunan ini.

Tidak gentar

“Malang sekali….. jika kerajaan menyalahgunakan kuasa menangkap kerana tindakan intimidasi sebegini tidak menggentarkan sesiapa sekarang,” ujar beliau.

Sementara itu, pengarah Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Ivy Josiah mendedahkan bahawa pihak polis pernah membenarkan pertubuhan NGO wanita berhimpun dan berarak tanpa permit dalam kempen ‘Walk and Rock’ sempena Hari Wanita Sedunia.

“Anggota polis begitu profesional dalam mengatur dan mengendalikan aliran trafik pada ketika itu,” kata Ivy.

Sebelum itu, sejumlah 11 NGO wanita telah membidas tindakan keterlaluan pihak polis dan menyokong penuh sumbangan Empower dalam usahanya meningkatkan taraf pekerjaan wanita ke peringkat di mana wanita boleh membuat keputusan.

Antaranya, Persatuan Peguam Wanita, Sister’s In Islam dan Tenaganita. - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive