oleh : Shannon Teoh
KUALA LUMPUR, 25 Julai — Putrajaya menegaskan keputusan menghantar pulang seorang peguam Perancis William Bourdon sehari selepas dia berucap di Pulau Pinang berhubung kontroversi pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion bukan satu tindakan berbaur politik.
Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein berkata Bourdon (gambar), yang sedang menguruskan kes berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah dihantar pulang ke Paris kerana melanggar peraturan visa pelancong.
“Dia telah melanggar syarat-syarat visanya. Oleh kerana ia kes berprofil tinggi, orang ramai memilih untuk mengatakan ia berbaur politik. Ramai yang dihantar balik setiap hari,” katanya.
Ketika ditanya dia dihantar pulang kerana ucapannya yang dia sepatutnya bercakap pada dua majlis mengutip dana hujung minggu lalu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, “saya tidak tahu apa itu, tetapi yang pasti dia tidak boleh ucapan.”
Sabtu lalu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan Putrajaya menghantar balik peguam Bourdon sebagai tindakan berkaitan politik.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkata, tindakan menghantar pulang peguam itu menunjukkan pentadbiran Najib masih mahu menyembunyikan fakta mengenai urusan pembelian kapal selam.
“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, perdana menteri kita yang dicintai. Sebab itu tindakan-tindakan tidak munasabah diambil hari ini (semalam),” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, tindakan Malaysia menghantar balik Bourdon dengan cara tidak hormat telah membantu memperkukukan usaha pihaknya dalam isu skandal pembelian kapal selam.
Peguam itu ditahan ketika tiba di Sepang dalam perjalanan dari Pulau Pinang pagi Jumaat lalu.
Malah, Nurul Izzah berkata, tindakan ke atas Bourdon dan kekerasan Barisan Nasional ke atas perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bebas dan adil menimbulkan persoalan mengenai pembaharuan politik dan ekonomi yang dijanjikan oleh Najib.
Pembelian dua kapal selam dari syarikat Perancis DCNS pada 2002 dibuat ketika Najib menerajui Kementerian Pertahanan dan sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan beliau, dilaporkan menerima komisen lebih RM500 juta atas urusan tersebut.
Parti-parti politik pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia juga mengaitkan kematian wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dengan isu tersebut.
Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta kebenaran akses ke atas maklumat berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani oleh syarikat Abdul Razak, Perimekar Sdn Bhd dan maklumat-maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.
Mahkamah Perancis menerima permintaan itu untuk menyoal siasat dakwaan membayar sogokan RM500 juta oleh DCNS kepada Perimekar. - TMI
MENYUSUL LAGI
No comments:
Post a Comment