Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi didesak menjelaskan kepada rakyat, apakah keistimewaan yang dimilik penulis blog Papagomo sehingga dibenar menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak, Jumaat lalu.
Dalam kenyataan medianya, setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata, kehadiran penulis blog pro-Umno dalam kapal selam berkenaan telah membuktikan bahawa Zahid yang juga naib presiden Umno telah berbohong.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak ada penulis blog yang dibenarkan menaiki kapal selam itu melainkan wartawan Bernama dan TV3 yang turut disertai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dua timbalannya.
"Keistimewaan yang dimiliki Papagomo adalah jelas membuktikan salah guna kuasa, dan menteri pertahanan mesti menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang pembohongannya dan hubungan intimnya dengan blogger Umno itu," katanya.


