01 July 2011

Detik-detik terakhir stesen KTM Tanjong Pagar

Pengunjung tangisi detik terakhir stesen kereta api Tanjong Pagar

2011/07/01

SINGAPURA: Sejurus selepas tren terakhir meninggalkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar tepat pada 11 malam tadi, Mohd Ayub Embong terus bergerak ke pejabatnya yang terletak 50 meter dari situ.

Di pejabatnya itu, Mohd Ayub, yang merupakan Pengurus Operasi stesen berkenaan, memastikan segala dokumentasi yang diperlukan bagi menutup operasi stesen itu secara rasmi siap menjelang detik 12 tengah malam. Segala gerak-geri beliau menyiapkan dokumen terakhir itu diperhatikan dengan penuh minat oleh pengunjung dan jurugambar media yang mahu merakamkan detik-detik terakhir perkhidmatannya di situ. Walaupun sibuk menyiapkan tugasnya yang perlu diselesaikan sebelum tengah malam itu, Mohd Ayub itu kerap "diganggu" oleh permintaan demi permintaan daripada pengunjung untuk mengambil gambar bersamanya.

"Terima kasih tuan di atas segala-galanya," merupakan ungkapan daripada pengunjung warga Singapura yang beremosi selepas bersalaman dan berpelukan dengan pengurus stesen Tanjong Pagar yang terakhir itu.

Mohd Ayub hanya mampu tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Ditanya oleh wartawan tentang perasaannya ketika beliau menyiapkan dokumen terakhir sebelum stesen itu ditutup selepas 80 tahun beroperasi, beliau menjawab: "Sudah pasti sedih."

Sepuluh minit sebelum tengah malam, pengurus kanan operasi Stesen Keretapi Gemas, Abdul Aziz Said, memasuki pejabat Mohd Ayub yang semakin sesak dengan pengunjung ketika detik penuh bersejarah itu semakin dekat.

Abdul Aziz adalah pegawai kanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bertanggungjawab memeriksa semua dokumen yang diperlukan, sebelum operasi stesen itu ditutup secara rasmi.

Selepas memeriksa semua dokumen itu, beliau menurunkan tandatangannya dalam Buku Lawatan stesen berkenaan menandakan semua proses menutup operasi Stesen Kereta Api Tanjong Pagar itu berjalan lancar.

"Selepas 12.01 tengah malam ini, operasi Stesen Keretapi Tanjong Pagar di Singapura ini tamat secara rasmi dan tidak akan ada lagi sebarang komunikasi dari stesen ini," kata Abdul Aziz sambil bersalaman dengan Mohd Ayub.

Suasana dalam pejabat Mohd Ayub itu diselubungi perasaan emosi pengunjung yang berpusu-pusu berpelukan dengan Abdul Aziz dan Mohd Ayub ketika jam semakin hampir menunjukkan 12 tengah malam.

Ramai pengunjung dan kakitangan KTMB yang berada di dalam pejabat itu tidak dapat mengawal perasaan, menangisi detik-detik terakhir operasi stesen yang merupakan antara lambang kepada usaha merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Tepat pada tengah malam, Mohd Ayub, Abdul Aziz dan beberapa kakitangan KTMB yang terakhir menarik pintu penutup stesen itu buat kali terakhir. - BERNAMA

2 comments:

perjalanan pulang said...

mimpi senja kena tuko color background kerana boleh ditangkap

Stone525i said...

Panglima Muda, gua tak promot Bersih, cuma xtau mmcmana tetiba jer gua suka kaler KUNING hahaha ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive