25 July 2011

Wahabi - KJ partahan Dr Asri

Oleh G Manimaran
KUALA LUMPUR, 25 Julai — Khairy Jamaluddin mahu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan amalan Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Ketua Pemuda Umno ini menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri.

“Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah,” kata Khairy dalam kenyataan menerusi blognya malam ini.

Khairy (gambar) berkata beliau sungguh terkejut dengan laporan media bahawa kononnya MKN, semasa mesyuaratnya yang telah diadakan pagi tadi, telah mengenal pasti Asri dan beberapa pemimpin agama Islam yang lain sebagai pendokong gerakan Wahabi serta pengganas dan merasakan ia sebagai suatu yang sangat keterlaluan sekiranya laporan ini betul.

Laporan itu dibawa oleh beberapa media petang tadi.

Ini bukan kali pertama dakwaan sedemikian dikenakan ke atas Asri dan telah dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, beliau tidak nampak langsung sebarang tindakan atau usaha subversif daripada Asri yang melayakkan beliau untuk dilabel sebagai pengganas.

“Pada pendapat saya, sebarang langkah melulu terutama di dalam melabel serta menjatuhkan hukum kepada pihak-pihak tertentu tanpa penelitian yang mendalam serta memberikan mereka peluang untuk memberi penjelasan adalah suatu yang tidak boleh diterima apatah lagi apabila tuduhan atau label tersebut menyabitkan seseorang atau kelompok tertentu sebagai pengganas,” katanya.

Oleh itu tegas Khairy, beliau mahu MKN memberi penjelasan berhubung laporan media yang berkenaan dan sekiranya benar memberi Asri dan mana-mana tokoh agama Islam yang telah disenaraikan sebagai pendokong gerakan Wahabi atau pengganas peluang untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan  - The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive