28 August 2011

PAS akan panggil Dr Che Rosli

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — PAS akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAS Dr Che Rosli Che Mat, yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS.

“Kami akan minta YB Che Rosli (gambar) agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sambil menambah, “setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin.”

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng.

“Saya bukan pengerusi jawatankuasa disiplin, tetapi apa yang boleh dikatakan ialah setakat ini, ia bukan kes disiplin. Tetapi sekretariat ibu pejabat akan memanggil beliau untuk memberi penjelasan,” katanya lagi.

Katanya, tindakan susulan akan diputuskan sebaik sahaja setiausaha agung parti mengemukakan laporan hasil penjelasan Che Rosli nanti.

Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

 
Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya.

PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu The Malaysian Insider tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah.

“Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang beliau telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri,” katanya.

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh Walia mengatakan Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Dr Ahmad Termizi Ramli dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik.

Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang alam sekitar - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive