KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, polis mengharamkan semua program Seksualiti Merdeka 2011 (Perhimpunan Seks Bebas) yang dirancang diadakan bermula hari ini (semalam) hingga 13 November ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, semua penganjur diarah menghentikan sebarang program berkenaan kerana terdapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak serta menyalahi undang-undang dan jika masih berdegil tindakan tegas akan dikenakan.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya sudah menerima dua laporan polis daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang membantah penganjuran program berunsur homoseksual itu.
“Susulan laporan itu, kami sudah melakukan siasatan dan mendapati ramai pihak tidak bersetuju serta membantah program itu termasuk daripada persatuan agama Islam, Kristian, Hindu dan Buddha.
“Mulai hari ini (semalam), kami mengeluarkan arahan supaya apa juga program yang diadakan penganjur Seksualiti Merdeka dihentikan dan polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertainya kerana ia salah dari segi undang-undang negara,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.
Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas polis menerima maklumat berhubung penganjuran program itu yang boleh menimbulkan ancaman serta menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Khalid berkata, isu penganjuran program itu kini disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 27 A (1) (c) Akta Polis.
“Polis akan memanggil semua penganjur yang dipercayai terbabit dalam program itu termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga untuk diambil keterangan. - myMetro
No comments:
Post a Comment