06 November 2011

Seksualiti Merdeka : KPN sedia temui penganjur

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sedia bertemu dengan penganjur program 'Seksualiti Merdeka 2011' untuk mendengar penjelasan mereka berhubung penganjuran program itu.

"Saya tiada masalah untuk berjumpa (dengan penganjur). Saya boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja asalkan ada tujuan... sebab kita bercakap soal keamanan. Saya tidak mahu tanggung apa-apa risiko yang boleh gugat keamanan negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Hari Raya Aidiladha di Masjid Bukit Antarabangsa di sini, Ahad.

Dalam satu kenyataan media semalam, penganjur program berhasrat untuk berjumpa dengan Ismail bagi menerangkan tujuan sebenar program berkenaan.

Menurut kenyataan itu, penganjur sedih dan terkilan apabila orang ramai termasuk wakil rakyat memilih untuk terus menganiaya, mencaci dan bersangka buruk berhubung acara-acara anjuran mereka.

Ismail berkata polis bagaimanapun tetap akan menyiasat penganjuran program itu mengikut sistem dan lunas undang-undang yang sedia ada.

Mengulas mengenai penganjur program itu termasuk membabitkan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S.Ambiga yang akan diambil keterangan, Ismail berkata pihaknya akan tetap mengambil keterangan daripada mereka dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan berhubung program terbabit.

"Ambiga dan lain-lain penganjur diarah untuk diambil keterangan. Saya telah menyerahkan kepada pegawai saya untuk siasat," katanya.

Program yang diadakan buat kali keempat sejak 2008, sepatutnya bermula 2 hingga 13 Nov tidak diteruskan oleh penganjur selepas mendapat tentangan hebat pelbagai pihak ekoran program terbabit didakwa memperkasakan hak golongan lesbian, biseksual, gay dan transeksual di negara ini. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive