2011/11/21
SCOTT BASE (ANTARTIKA): Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, tiba bagi lawatan khas ke Antartika.
Seri Paduka Baginda dan rombongan tiba di benua selatan itu dengan pesawat khas C-17 Globe Master Tentera Udara Amerika yang mendarat di Lapangan Ais Pegasus, sebuah lapangan terbang yang dibina di atas lautan ais yang beku, pada 1 tengah hari waktu tempatan.
Rombongan Seri Paduka terdiri daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd Nor; Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah; dan Juruiring Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Brig Jen Datuk Zaharin Ahmad.
Turut sama Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Kementerian Perdagangan dan Luar Negara New Zealand, Caroline McDonald; Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson; dan petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Mohamad Mudanoran Mohamad Mushaari, yang akan membuat liputan sepanjang lawatan baginda ke Antartika.
Pesawat berkenaan juga membawa sekumpulan 70 petugas lain terdiri daripada penyelidik dan saintis antarabangsa yang akan melakukan penyelidikan di sekitar kawasan benua itu.
Tuanku Mizan yang disambut Penyelia Perkhidmatan Antartika, David Washer, kemudiannya dibawa ke Pusat Penyelidikan Scott dalam perjalanan yang mengambil masa 20 minit sambil menikmati pemandangan di sekitar kawasan itu.
Seri Paduka Baginda kemudian diberikan taklimat oleh Sanson di Kem Scott sebelum dibawa melawat Castle Rock dan Kem Lapangan Latihan Antartika dengan menaiki kenderaan khas dipanggil Hagglund, iaitu kenderaan litar permukaan ais.
Pada hari kedua di Antartika, Seri Paduka Baginda, dijadual menaiki helikopter bagi lawatan saintifik melalui udara ke kawasan McMurdo Sound termasuk singgah melawat pondok yang digunakan oleh Kapten Scott pada tahun 1910-1912 di Cape Evans dan pondok Sir Ernest Shackleton pada tahun 1907-1909 di Cape Royds.
Kedua-dua pondok tersebut kini menjadi destinasi bersejarah dan ikon bagi para saintis dan penyelidik di Antartika. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment