KUALA LUMPUR, 17 Dis — Selepas insiden penahanan 15 mahasiswa yang menyertai ‘flash mob’ di KL Sentral Rabu lalu, polis ibu negara hari ini mempamerkan ‘kelainan’ apabila bukan sahaja tidak mengambil tindakan keras, malah membantu kira-kira 100 mahasiswa yang menyertai demonstrasi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Anggota polis yang diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, ASP W. Karthik mengawal kelancaran lalu lintas dan kumpulan pelajar tersebut sepanjang demonstrasi mereka. The Malaysian Insider difahamkan, kumpulan mahasiswa itu dibenarkan untuk meneruskan demonstrasi mereka selagi kumpulan itu tidak melibatkan penyertaan mana-mana parti politik dalam demonstrasi hari ini.
Peserta demonstrasi tersebut dilihat turut bertengkar dengan beberapa pengguna jalan raya termasuk seorang penunggang motosikal yang tidak senang dengan tindakan mereka menghalang lalu lintas dan mengarahkan mereka ke tepi jalan. “Woi, tepi lah! orang nak pergi kerja, janganlah duduk sini (tengah jalan)”, dan kemudiannya salah seorang daripada peserta demonstrasi menjawab, “aku pun bayar cukai, suka hati lah”. Dalam demonstrasi terbabit, kumpulan ini turut menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam, Md Sha’ani Abdullah. Dalam kenyataannya kepada media, Md Sha’ani berkata, tindakan kumpulan terbabit duduk di atas jalan raya dan menghalang lalu lintas merupakan suatu kesalahan undang-undang, tetapi kehendak mereka tidak boleh dinafikan. “Memang tindakan mereka itu merupakan satu kesalahan, tetapi kita tidak boleh menafikan hak mereka, sebelum ini pun belum ada lagi orang yang ditahan kerana menghalang lalu lintas,” katanya selepas sesi penyerahan memorandum. Menurutnya, memorandum tersebut akan diteliti dan ada perkara tertakluk di bawah hak asasi manusia sejagat. “Suhakam akan meneliti memorandum yang diserahkan, dan kami percaya pernyataan ketidak puasan hati boleh melalui pelbagai bentuk, sama seperti berdemonstrasi demi untuk menarik perhatian golongan tertentu apabila medium lain seperti surat dan sebagainya tidak mendapat respon yang sewajarnya,” jelasnya.
Setelah kira-kira 30 minit berdemonstrasi di kawasan pejabat Suhakam, kumpulan mahasiswa kemudiannya bergerak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum kepada Umno - TMI
No comments:
Post a Comment